HALAMAN SANTAI

Rabu, 11 Ogos 2021

Sumpah tak sokong Anwar, ada logiknya Zahid bakal jadi PM


Cikgu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pendedahan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung sumpah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak akan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri (PM) memberi isyarat jelas sesuatu lebih besar akan berlaku.

Dalam pendedahan tersebut, beliau berkata Zahid bersumpah dengan nama Allah tidak akan menyokong Anwar dan bagi orang Islam tindakan bersumpah terutamanya melibatkan kalimah suci bukan satu perkara yang boleh dibuat main-main.

“Presiden UMNO telah bersumpah Wallahi, Wabillahi, Watallahi bahawa beliau tidak akan menyokong Anwar untuk jadi perdana menteri dan tidak akan bersama dengan PH (Pakatan Harapan) dan DAP di hadapan beberapa Ahli Parlimen (MP).

“Saya ada ketika itu, ini baru lagi baru sehari dua yang lalu. Jadi tuduhan terhadap beliau itu adalah yang tidak berasas,” katanya dipetik dalam satu program bual bicara secara maya.

Jawapan Ahmad ini menjawab banyak persoalan yang timbul sebelum ini dan ia juga memberikan penjelasan mengapa nama Anwar tidak dinamakan dalam surat akuan yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong semalam.

Ia secara tidak langsung menunjukkan UMNO akan menamakan calon PM mereka sendiri jika sekiranya Tan Sri Muhyiddin disingkirkan daripada kerajaan PN dan bukannya nama Anwar seperti yang diwar-warkan sebelum ini.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Zahid meninggalkan Anwar walaupun mereka bersahabat baik dalam hubungan antara cikgu dan anak murid, pada 1998 Zahid lari daripada gerakan reformasi selepas ditangkap bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan juga tidak membantu Anwar yang berdepan kes liwat II pada 2008 melibatkan Saiful Bukhari walaupun ketika itu menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri.

Menteri Dalam Negeri mengawal agensi pihak berkuasa penting dalam negara seperti polis, imigresen dan banyak lagi yang berkaitan keselamatan negara.

Mengambil kira dua fakta sejarah yang penting ini, tidak mustahil episod sama akan berulang dan Anwar mungkin akan kempunan sekali lagi untuk menjadi PM walaupun mengharapkan Zahid kali ini akan betul-betul menolongnya dengan bantuan beberapa MP UMNO.

Jika pendedahan Ahmad tersebut diambikira, maka terbukti Zahid sebenarnya tidak yakin dengan Anwar mahu pun DAP untuk menyelamatkan dirinya yang sedang berdepan kes-kes mahkamah.

Hanya satu jalan, Zahid perlu menjadi PM dan ia perlu menerusi sokongan daripada parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) bukan daripada blok pembangkang, Pakatan Harapan.

Langkah pertama ke arah menyingkirkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah berhasil, kini Zahid nampaknya mendesak supaya sidang Parlimen diawalkan supaya keabsahan dapat ditentukan dengan lebih awal tidak perlu menunggu sehingga September.

Zahid nampaknya terdesak memandangkan kes mahkamah yang dihadapinya akan bersambung pada 24 Ogos ini dan sekiranya didapati bersalah maka terlepas peluangnya untuk menjadi PM.

Tiada ulasan: