HALAMAN SANTAI

Khamis, 5 Ogos 2021

UMNO cabar kerajaan segera panggil Sidang Khas Parlimen

 Ainul Illia

8 Surat Akuan Ahli Parlimen UMNO telah dipersembah kepada Agong

BANGI – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kenyataan Perdana Menteri dalam perutusan khas, hari ini yang menyatakan kerajaan masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.

Jelasnya, sebelum ini, Perikatan Nasional (PN) hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen yang menyokong.

Bagaimanapun, beliau mendakwa telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan terhadap Tan Sri Mahiaddin Yasin sebagai Perdana Menteri.  

Katanya, warkah itu cukup untuk menunjukkan kepimpinan Muhyiddin sudah hilang majoriti, biarpun sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu.

“Setelah Majlis Kerja Tertinggi membuat ketetapan mutakhir pada 3 Ogos 2021, bagi menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri, atas asas mahu berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong, jumlah Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO telah bertambah lagi.

“Pada hari ini saya telah mengutus warkah kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Berikutan itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO mencabar kerajaan untuk segera memanggil Sidang Khas Parlimen bagi membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa menunggu sehingga persidangan Parlimen pada bulan September.

Tiada ulasan: