HALAMAN SANTAI

Selasa, 17 Ogos 2021

UMNO pertimbang beberapa calon Perdana Menteri

 Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR

AHMAD ZAHID HAMIDI

PETALING JAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak pernah terlintas untuk menamakan dirinya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.

Justeru, kata beliau, UMNO selaku parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara akan mempertimbang beberapa calon.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerjasama serta sokongan semua ahli-ahli Parlimen.

“Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas diri saya sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.

“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar.

“Saya ingin menyeru kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan beliau menyembah warkah surat peletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Namun Seri Paduka berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai caretaker Perdana Menteri sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mencadangkan satu kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh yang munasabah bagi mengelakkan krisis politik daripada berulang.

Kata beliau, kerajaan tersebut akan memfokuskan hanya menangani perang pandemik Covid-19 dan menguruskan soal-soal kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing.

Beliau menjelaskan bagi tujuan tersebut, sebuah kabinet yang efektif mirip seperti ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara dalam mendepani pandemik.

“Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka Kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat.

“Bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan.

“Menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat,” katanya.

Ahmad Zahid kemudian merakamkan terima kasih kepada Muhyiddin atas perkhidmatannya sebagai Perdana Menteri.

“Apa yang berlaku perlulah dijadikan teladan dan saya menyeru semua pihak untuk memandang ke hadapan.

“Ia dengan memberi sepenuh tumpuan hanya kepada satu matlamat bagi bersama-sama menjaga kesejahteraan rakyat dan membina kembali negara tercinta ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: