HALAMAN SANTAI

Ahad, 8 Ogos 2021

UMNO tangguh pemilihan atas ketetapan ROS – Zahid

maxresdefault-84
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – UMNO tidak mengadakan mesyuarat pemilihan parti seperti yang ditetapkan kerana akur dengan arahan Jabatan Oendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 9 Jun lalu.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketika itu ROS memaklumkan semua pertubuhan berdaftar hendaklah menangguhkan mesyuarat agung tahunan masing-masing.

Katanya, ROS membuat ketetapan itu selaras dengan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 Jun.

“Pengecualian diberi jika mesyuarat mampu dilakukan secara maya dan memenuhi syarat asas pelaksanaan Mesyuarat Agung Tahunan seperti yang termaktub dalam perlembagaan pertubuhan masing-masing.

“Maka, UMNO membuat ketetapan tidak mampu melakukannya secara maya disebabkan UMNO tidak pernah melakukannya.

“Apatah lagi UMNO memiliki lebih tiga juta ahli di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar yang berdepan kesukaran liputan internet,” katanya menerusi hantaran Facebooknya.

Semalam, ROS menetapkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 7 Julai lalu untuk menangguhkan pemilihan parti selama 18 bulan adalah tidak sah.

Ketua Pengarahnya, Jasri Kasim dilaporkan berkata, ketetapan itu dibuat berikutan tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Justeru, UMNO perlu membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada ROS dalam tempoh terdekat.

UMNO dilaporkan menangguhkan pemilihannya di semua peringkat cawangan, bahagian dan MKT selama 18 bulan bermula 30 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menjelaskan, ketika ketetapan ROS agar semua pertubuhan berdaftar menangguhkan mesyuarat agung tahunan itu dibuat, jumlah kes jangkitan harian Covid-19 di Malaysia adalah sekitar 6,000 kes dengan jumlah kes aktif sekitar 80,000 kes.

Tetapi, hari ini katanya, semasa kes jangkitan harian Covid-19 lebih 20,000 kes dengan jumlah kes aktif lebih 220,000 kes, ROS menyatakan penangguhan mesyuarat agung UMNO adalah tidak sah.

Oleh itu, kata beliau, UMNO diarah agar membuat permohonan penangguhan mesyuarat agung atau pemilihan dengan mengemukakan cadangan tarikh kepada ROS dalam tempoh terdekat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: