HALAMAN SANTAI

Isnin, 9 Ogos 2021

Zahid, Najib patut bimbang UMNO jadi minoriti dalam kerajaan diketuai Anwar

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Razak kini mahu bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Cerita dan hujah yang dijaja Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakannya, Datuk Seri Najib Razak dikalangan pemimpin akar umbi bagi menjayakan kerjasama dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah demi selamatkan negara.

Perkara tersebut didedahkan seorang Ketua UMNO Bahagian yang menerima panggilan daripada kedua-dua pemimpin atasan tersebut yang cuba menjelaskan pendirian parti berhubung keputusan Majlis Tertinggi baru-baru ini.

“Kedua-dua mereka mahu menyelamatkan negara, kononnya menyelamatkan rakyat dan apabila berjaya kerjasama dengan Anwar negara dapat diselamatkan.

“Cerita dan naratif ini diterangkan kepada pemimpin akar umbi, ia susulan terdapat laporan hampir 100 Ketua Bahagian kini melancarkan gerakan untuk menyingkirkan Zahid sebagai Presiden,” kata sumber yang juga seorang Ketua UMNO Bahagian.

Sumber parti memberitahu Zahid dan Najib berwaspada dan tidak mengambil mudah selepas pendedahan Agenda Daily mengenai gerakan pemimpin akar umbi yang sedang berjalan ketika ini, malah difahamkan turut menghantar pengintip bagi mengorek maklumat perjumpaan melibatkan kumpulan kem Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kem Ismail Sabri dan bersama kem Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein kini rancak menggerakkan pemimpin akar umbi seluruh negara untuk menentang Zahid yang mahu membawa UMNO untuk bersama Anwar.

Selain itu, sumber Agenda Daily juga mendedahkan Najib yang masih mempunyai pengaruh dikalangan akar umbi UMNO sudah menghubungi beberapa Ketua UMNO Bahagian sejurus mendapat tahu wujud gerakan untuk menyingkirkan Zahid yang sedang berjalan ketika ini.

Najib terpaksa bergantung kepada Zahid bagi menjayakan pakatan bersama Anwar, sekiranya gagal rancangan mereka ia bermakna peluang untuk terselamat daripada kes-kes mahkamah akan tertutup.

Malah, komitmen yang diberikan Anwar yang sudah berjaya menyakinkan DAP untuk menerima kumpulan Kluster Mahkamah dalam perancangan pakatan bersama merupakan satu berita baik buat mereka berdua kerana sekurang-kurangnya ia dapat memberi kelegaan sedikit.

Bagaimanapun, Zahid dan Najib kini bakal berdepan gelombang akar umbi yang tidak sependapat dan tidak bersetuju dengan perancangan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri dan menjadi rakan kongsi dengan DAP.

Walaupun sudah memiliki sokongan beberapa Ahli Parlimen (MP) UMNO yang bersama mereka untuk tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) bawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, jumlah tersebut masih belum menyakinkan.

Rancangan sebenar Zahid dan Najib adalah sekurang-kurangnya mendapatkan 15 MP UMNO, tetapi jumlah tersebut masih tidak mencukupi kuota yang dikehendaki Anwar.

Kebimbangan Zahid dan Najib adalah apabila hanya sekumpulan kecil MP yang mengikut perancangan mereka untuk bekerjasama dengan Anwar, ia pasti akan mengakibatkan UMNO menjadi minoriti dalam kerajaan yang dibentuk bersama blok pembangkang nanti.

Kumpulan yang setia dengan Muhyiddin nampaknya kekal dengan pendirian dan tidak berganjak untuk kekal menolak kerjasama dengan Anwar dan DAP, ia memaksa Zahid dan Najib menggunakan alasan dengan memberi tekanan langkah yang sedang dilakukan UMNO adalah demi menyelamatkan negara.

“Jika hanya 12 MP UMNO bersama Najib dan Zahid, mereka akan menjadi minoriti dalam kerajaan baharu yang dipimpin Anwar dan pasti DAP akan menjadi abang besar.

“Sekiranya ini berlaku, ahli-ahli UMNO akan mula hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap Zahid dan Najib yang nampaknya sedia bekerjasama dengan musuh sehingga menjadi punca kepada perpecahan UMNO,” kata sumber itu lagi.

Tiada ulasan: