HALAMAN SANTAI

Jumaat, 6 Ogos 2021

Zahid yang derhaka cuba runtuhkan kerajaan sebelum sidang Parlimen

Sidang media Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebenarnya melanggar titah Yang di-Pertuan Agong apabila masih berdegil mahu menghantar surat akuan tambahan walaupun sudah diperkenankan sebarang isu melibatkan keabsahan kerajaan perlu diputuskan di Parlimen.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata seramai 31 Ahli-ahli Parlimen (MP) UMNO menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong supaya keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditentukan di Parlimen dan tindakan selain daripada titah tersebut disifatkan sebagai melanggar hasrat Tuanku.

“Jadi jelas bahawa walaupun ada kenyataan daripada Presiden UMNO yang mengatakan beliau akan menghantar nama lagi (kepada Yang di-Pertuan Agong), saya rasa ini adalah bertentangan dengan perkenan dan juga keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi kami Ahli-Ahli Parlimen yang setia kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia akan patuh kepada titahnya iaitu apa pun perkara yang nak diselesaikan tentang perkara yang berkaitan dengan kerajaan perlu dilakukan di Parlimen,” kata beliau semasa sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pagi ini.

Jelas Ismail Sabri, tindakan yang dianggap melanggar titah tersebut termasuklah sebarang keputusan yang dilihat boleh meruntuhkan kerajaan sebelum sidang Parlimen diadakan.

“Dan kami berpandangan perkara-perkara lain adalah perkara yang diluar daripada perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada menghantar SD ataupun surat akuan termasuklah untuk melakukan tindakan yang boleh meruntuhkan kerajaan sebelum Parlimen diadakan,” katanya.

Menurutnya, isu berhubung dakwaan derhaka kononnya MP UMNO derhaka terhadap titah Yang di-Pertuan Agong tidak perlu dipolemikkan dan pihak yang cuba meruntuhkan kerajaan sebelum sidang Parlimen adalah sebenarnya yang derhaka kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

“Jadi tidak timbul isu yang mengatakan Ahli Parlimen derhaka dan sebagainya, mungkin yang derhaka adalah pihak yang melanggar titah daripada Yang di-Pertuan Agong supaya perkara ini dibawa ke dalam Parlimen pada bulan September ini,” katanya.

Semasa sidang media itu juga, Ismail Sabri berkata seramai 31 Ahli Parlimen Barisan Nasional menyatakan untuk kekal menyokong kerajaan PN dan menunggu sehingga September bagi menentukan keabsahan kerajaan sedia ada.

“Pendirian kami adalah Ahli-ahli Parlimen menjunjung kasih dan menjunjung titah Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong iaitu memperkenankan supaya kerajaan hari ini meneruskan pentadbirannya dan akan menentukan keabsahan kerajaan hari ini di Parlimen.

“Dan Ke bawah Duli juga bersetuju dan memberi perkenan supaya satu usul undi percaya dibentangkan di dalam Parlimen,” katanya.

Zahid pada 4 Ogos lalu memaklumkan UMNO mengutuskan warkah kedua kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan pertambahan bilangan Ahli Parlimen parti itu yang tidak lagi memberikan sokongan kepada Muhyiddin.

Beliau berkata ia adalah surat lanjutan kepada warkah terdahulu yang dipersembahkan pihaknya kepada Yang di-Pertuan Agong pada 30 Julai lalu.

Bagaimanapun Muhyiddin selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini memaklumkan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membawa usul undi percaya ke Parlimen pada September bagi menentukan keabsahan pentadbirannya yang kini sedang diserang kumpulan Kluster Mahkamah dalam UMNO yang mendesak peletakan jawatannya.

Tiada ulasan: