MELAKA: Seramai 95 ahli BERSATU Bahagian Tangga Batu mengisytiharkan keluar parti dan menyertai UMNO.
Kumpulan ahli BERSATU Cawangan Bertam Hulu itu mengumumkan perkara berkenaan pada satu majlis ringkas di Klebang, di sini, malam tadi.
Permohonan borang keahlian UMNO itu diserahkan Pengerusi Tetap BERSATU cawangan berkenaan yang juga Sidang Kampung Bertam Hulu, Rosjihan Abdul Rahman, 62, kepada Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.
Yang turut hadir, Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Isham Jalil.
Rosjihan yang juga Timbalan Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) Perikatan Nasional (PN) Bertam Hulu berkata, tindakan keluar parti itu tiada sebarang paksaan sebaliknya atas rasa perjuangan untuk membela bangsa dan agama, khususnya di Sungai Udang.
Pada masa sama, beliau mendakwa sikap mementingkan diri dalam kalangan pemimpin cawangan, menyebabkan sebahagian besar ahli cawangan berkenaan merasakan terpinggir serta dihina.
"Kami seperti 'pencacai' dan tangga untuk dia (pemimpin cawangan) menonjolkan diri serta mendapatkan jawatan. Kami kecewa dan rasa dihina.
"Kami seperti tidak dihargai dan sebab itu kami bertindak meninggalkan parti demi kepentingan agama, bangsa dan negara," dakwanya.
Sementara itu, Mohamad Ali yang juga calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang syukur kerana kumpulan berkenaan sudah kembali ke pangkal jalan.
"Saya bersyukur dan gembira mengumumkan permohonan mereka diterima di
peringkat bahagian dan akan diangkat ke Majlis Tertinggi UMNO untuk
diluluskan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan