MALAYSIA POST
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa beliau sudah menjangkakan akan menjadi mangsa serangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ahli Parlimen Pekan itu, berkata dirinya dijadikan bahan utama Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dalam ceramah terakhir kedua-dua parti itu dalam PRN berkenaan.
“PN dan PH: “Najib, Najib dan Najib”. Biarpun saya bukan calon di Melaka, bukan Presiden Umno mahupun pengerusi Barisan Nasional (BN).
“Manakala BN bawa mesej track-record, bantuan, pemulihan dan pembangunan bagi Melaka,” katanya menerusi Facebook.
Najib berkata, beliau tertanya-tanya apakah sebenarnya PH dan PN mahukan dengan terus-menerus menghasut rakyat untuk membencinya.
“Apa yang pihak-pihak lawan fikir warga Melaka akan dapat dalam tempoh lima tahun akan datang sekiranya mereka menghasut Rakyat benci saya?
“Apa yang Rakyat Malaysia telah dapat dengan menghasut orang membenci saya selepas PRU14? Ekonomi lebih bagus? Aset-aset negara bertambah? Dividen tabung-tabung simpanan menaik?
“Kesejahteraan hidup Rakyat bertambah baik? Negara lebih stabil dan terancang? Pasaran saham lebih baik? Pelaburan asing menaik? Janji-janji manifesto ditepati? Apa sebenarnya?,” soalnya.
Menjelang hari terakhir kempen PRN Melaka, Najib diasak dengan isu permohonan tuntutan ganjaran rumah dan tanah bernilai RM100 juta oleh kerajaan kepadanya.
Perkara itu disahkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat kelmarin, selepas ia dipersoalkan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun, Najib dalam sidang medianya semalam, menolak tawaran peruntukan tanah bernilai RM100 juta oleh kerajaan kepadanya.
Beliau berkata, langkah itu dibuat selepas isu berkenaan dipolemik oleh pembangkang pada PRN Melaka. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan