MELAKA – Kepimpinan Pakatan Harapan (PH) akan membuat kajian semula mengenai kekalahan gabungan itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan membuat penelitian sama ada langkah PH mencalonkan dua bekas ADUN UMNO sebelum ini menyumbang kepada kekalahan.
“Kami akan buat penelitian dan pengamatan berasaskan kepada kawasan.
“Kami balik dan buat penelitian semua berkaitan dengan penyertaan dua bekas ADUN UMNO,” katanya dalam sidang media di sebuah hotel di bandar Melaka.
Katanya, gabungan itu akan membuat kajian mengenai corak undian mengikut saluran golongan muda, kaum dan mengikut kawasan.
Jelasnya lagi, langkah itu penting bagi memahami keputusan yang dibuat oleh pengundi-pengundi Melaka, awal hari ini.
“Itu penting kerana kelangsungan buat PH menghadapi pilihan raya seterusnya berpandukan penelitian kami terhadap keputusan walaupun Melaka bukan dijadikan satu ukur mutlak namun sedikit sebanyak keputusan ini perlu penelitian,” katanya lagi.
Menyedari hakikat bahawa PH telah ditolak di Melaka, Saifuddin berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kini mendapat kembali tampuk pemerintahan di Melaka.
“Kami (PH) ucapkan tahniah kepada BN dan UMNO serta terima kasih pengundi Melaka buat keputusan hari ini yang sekali gus berikan penjelasan mengenai kedudukan politik negeri berada dalam keadaan tak menentu.
‘Biapun mandat yang PH terima 2018 tak sempat kami sempurnakan 5 tahun namun keputusan hari ini dengan rakyat Melaka buat pilihan maka PH kata perlu dihormati kerana dibuat melalui undi,” kata Saifuddin.
Dalam pada itu, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari berkata, cabaran paling besar kepada kekalahan PH adalah kerana peratusan mengundi yang rendah pada kali ini.
Malah katanya, kesan Covid-19 juga turut menyumbang kepada perkara itu.
“Seperti kita tahu keputusan di peringkat negeri dan PH antara cabaran terbesar peratus keluar mengundi (rendah) memang kita tak nafikan, peluang itu hanya terletak 70 peratus.
“Covid-19 juga beri kesan, ini cabaran terbesar untuk kita,” katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu berkata, undi masyarakat luar bandar turut menyumbang kepada kemenangan besar UMNO dan BN.
“Undi luar bandar kepada BN mendahului jauh ke hadapan, kita akan meneliti dan melihat keadaan ini di mana bagaimana kedudukan di kawasan luar bandar yang di atas kekuatan mampu melonjakkan buah fikiran orang ramai.
“Bagaimanapun PH akan buat kaji selidik,” katanya.
Keputusan PRN Melaka menyaksikan BN kembali berkuasa apabila memperoleh kerusi mencukupi dengan sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan