Firdaus Azil

Beberapa
perubahan dijangka akan berlaku dalam kalangan calon DAP bagi Pilihan
Raya Negeri Melaka ini, kata Setiausaha DAP Melaka, Damien Yeo Shen Li. -
Foto Astro AWANI
MELAKA TENGAH:
Beberapa perubahan dijangka akan berlaku dalam kalangan calon DAP bagi
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka nanti, kata Setiausaha DAP Melaka,
Damien Yeo Shen Li.
Penyandang kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong itu berkata, berkemungkinan ada
nama-nama baharu akan diletakkan sebagai calon, dan ada juga kemungkinan
pertukaran kerusi antara calon.
Namun,
tegas peguam itu lagi, senarai yang dikemukakan DAP Melaka itu akan
dimuktamadkan oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selepas
perayaan Deepavali, dan akan diumumkan oleh Setiausaha Agung parti Lim
Guan Eng kemudian.
“Mungkin
ada penyandang kerusi yang akan digugurkan, mungkin ada yang tidak mahu
bertanding. Semua itu adalah kemungkinan… tetapi apa-apa pun kita
serahkan kepada pucuk pimpinan DAP Pusat untuk tentukan.
“Dan
memang ketika ini kerusi Pengkalan Batu sudah kosong, jadi mungkin ada
ADUN DAP akan pergi ke sana untuk bertanding. Bukan semua dikatakan,
mungkin Datuk Tey (Pengerusi DAP Melaka Datuk Tey Kok Kiew) pergi tempat
lain. Mungkin saya pergi ke Pengkalan Batu,” katanya lagi.
Beliau
berkata demikian kepada pemberita di lobi Menara Persekutuan selepas
selesai membeli borang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sempena PRN Melaka
akan datang.
Pada PRU lepas, DAP kekal
memenangi lapan kerusi yang ditandingi – Gadek, Pengkalan Batu, Ayer
Keroh, Kesidang, Kota Laksamana, Duyong, Bandar Hilir, dan Bemban.
Namun,
pada Mac 2020, ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee
bertindak keluar DAP, dan menyatakan sokongan kepada Perikatan Nasional,
menyebabkan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri Adly Zahari tumbang.
Dalam
pada itu, Kok Kiew, antara nama yang disebut-sebut akan digugur, atau
ditukar kerusi DUN, ekoran perselisihan faham dengan pucuk pimpinan DAP
dalam beberapa isu.
Selain itu, beliau
juga telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin DAP
Pusat kerana menerima Darjah Kebesaran Melaka yang membawa gelaran Datuk
pada 2018, sekali gus bertentangan dengan prinsip parti itu untuk tidak
membenarkan ahlinya menerima darjah kebesaran selagi masih berkhidmat.
Mengulas
mengenai kemungkinan pertandingan melebihi dua penjuru, susulan
beberapa kerusi melibatkan pertembungan antara Perikatan Nasional (PN),
Barisan Nasional (BN), dan Pakatan Harapan (PH), Yeo berkata mereka
bersedia untuk menghadapinya.
“I can’t say tentang Parti Amanah Negara (Amanah) atau PKR, tapi whatever it is, Pakatan Harapan kita tetap bersatu, kita dah selesai isu logo, kerusi dan sebagainya. Kita bergerak sebagai satu.
“Calon
Ketua Menteri pun sudah ada. Adly Zahari mengetuai Jentera PRN (PH)
ini. Dua penjuru ke, tiga penjuru ke, berapa penjuru sekali pun PH tetap
bersedia. Kita fokus menangkan parti,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan