Kolumnis AWANI

Pihak manakah yang akan mendapat mandat rakyat Melaka nanti? - Gambar hiasan/Bernama
PILIHAN
RAYA Negeri Melaka adalah medan terbaik untuk mengukur kekuatan parti
politik yang bertanding. Keputusan PRN ini adalah sebagai persiapan
untuk PRU 15 dari segi strategi dan kerjasama politik sebenar.
Keputusan
Pas untuk menggunakan lambang Perikatan Nasional dalam PRN Melaka
bermakna tiada kerjasama parti itu bersama UMNO dalam Muafakat Nasional.
Keputusan Pas itu telahpun ditentukan oleh Majlis Syura Ulama yang bersidang baru baru ini.
Pas
dilihat lebih selesa bersama PPBM berbanding UMNO walaupun terpaksa
tidak menggunakan lambang bulan yang menjadi tradisi puluhan tahun.
Kalau
dilihat dari rekod pencapaian di PRU14, PPBM memenangi 2 kerusi DUN
sewaktu dalam Pakatan Harapan yang menggunakan lambang PKR. Ketika itu
PPBM dapat sokongan majoriti dari pengundi kaum Cina dan India. PRN kali
ini undi tersebut agak sukar untuk diperolehi disebabkan GERAKAN
sebagai parti komponen dalam PN tidak punyai pengaruh dalam masyarakat
Cina dan India.
Pencapaian Pas di negeri
Melaka di PRU14 pun tidak begitu memberangsangkan. Pas tidak menang
walau satu kerusi pun. Mereka hilang wang pertaruhan disemua tempat
yang ditandingi kecuali 3 kawasan.
UMNO/BN
kalah tipis di PRU14 dengan memenangi 13 kerusi DUN dari 28 yang
dipertandingkan. Banyak faktor yang menyebabkan UMNO kalah tipis di
Melaka yang menjadi kubu kuatnya sebelum ini.
Antaranya
adalah janji bulan bintang dalam manifesto yang dapat menarik pengundi
muda dan pengundi atas pagar. Percaturan kali ini jauh berbeza dari PRU
yang lepas. Apakah keputusan PRN kali ini lebih baik bagi UMNO/ BN jika
dibandingkan dari PRU14, masih menjadi tandatanya.
UMNO/BN
dijangka menang selesa jika ada kerjasama Pas dalam MN. Begitu juga Pas
dijangka dapat buat pertama kali bertapak dalam Dewan Undangan Negeri
Melaka sekiranya bekerjasama dengan UMNO/ BN.
Namun Pas memilih jalan berliku. Apakah pertimbangan strategi yang diambil kira kali ini masih tidak dapat dipastikan.
Walaupun
UMNO tidak bersama Pas, namun ia janganlah sampai jadi permusuhan
kerana kedua-dua parti ini mewakili majoriti pengundi Melayu Islam di
negara kita. Bertandinglah secara berhemah kerana dalam politik apa-apa
pun boleh berlaku pada masa yang akan datang demi ukhwah Islamiyyah.
Semenjak
dari tahun lepas lagi Pas sudah bagi bayangan bahawa parti itu akan
bersama PPBM dalam gabungan Perikatan Nasional. Namun UMNO masih menaruh
harapan agar Pas mengubah pendirian.
Terdapat
juga segelintir akar umbi kedua dua parti tersebut maseh menaruh
harapan agar Muafakat Nasional dapat direalisasikan di hari mendatang
terutama pada PRU ke 15 kelak.
* Penulisan artikel oleh Penganalisis Politik, Shahbudin Embun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan