Bernama

Wan
Junaidi berkata banyak perkara perlu diteliti bagi memastikan
pelaksanaannya kelak berjalan lancar termasuk isu daftar pemilih. -
Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan had umur mengundi
kepada 18 tahun, tidak bermaksud ia akan dilaksanakan segera selepas
pindaan itu dilakukan pada 2019, demikian persidangan Dewan Rakyat
diberitahu hari ini.
Menteri di Jabatan
Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi
Tuanku Jaafar berkata ini kerana banyak perkara perlu diteliti bagi
memastikan pelaksanaannya kelak berjalan lancar termasuk isu daftar
pemilih.
"Apabila
perlembagaan dipinda pada 2019, jangka masa untuk pelaksanaan di bawah
pindaan ini ialah sehingga 2023. Kalau kita lihat jarak masa yang
diletakkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semua proses
pelaksanaan ini akan siap pada September 2022 dan sistem berkenaan akan
berjalan lancar.
"...banyak
perkara perlu dibuat contohnya daftar pemilih harus dibersihkan
daripada senarai pengundi yang telah meninggal dunia, sakit, gila
ataupun masuk penjara. Begitu juga mereka yang umur lebih 90 tahun yang
kita ketahui melebihi jumlah 7,000 orang yang belum lagi dibersihkan
daripada rekod daftar pengundi.
"Jadi
itulah, makanya jangka masa (pelaksanaan Undi 18) itu bukan menjangkakan
sistem ini boleh dilaksanakan dalam masa terdekat selepas perlembagaan
dipinda," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Wan
Junaidi menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa)
yang ingin tahu alasan kerajaan perlu menunggu keputusan mahkamah
sebelum meneruskan pelaksanaan Undi 18 sedangkan perkara itu merupakan
satu pindaan perlembagaan yang telah disepakati rentas parti pada era
pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Selain
itu, beliau berkata pandemik COVID-19 yang melanda negara turut
mengekang pihak kerajaan dan SPR untuk mengambil tindakan secara
terperinci bagi melaksanakan pindaan perlembagaan itu.
Menjawab
soalan asal Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) mengenai langkah
yang diambil SPR untuk memastikan pengundi 18 tahun akan keluar
mengundi pada pilihan raya umum akan datang, Wan Junaidi berkata SPR
melalui Akademi Pilihan Raya (APR) telah melaksanakan Program Pendidikan
Pengundi bagi mendekati warganegara khususnya belia yang masih
diteruskan sehingga kini.
Beliau berkata
sehingga 30 Sept lepas, APR melaksanakan Program Pendidikan Pengundi
bersama-sama beberapa institusi pengajian tinggi (IPT) secara bersemuka
dengan mematuhi ketetapan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan
penyertaan 2,740 pelajar manakala Program Pendidikan Pengundi Secara
Maya adalah sebanyak 152 program dengan 50,858 jumlah tontonan.
"Program
ini bertujuan memberi kefahaman terhadap proses pilihan raya yang
dijalankan di Malaysia di samping menjawab isu-isu yang sering
dibangkitkan semasa pillihan raya.
"Dengan
kesedaran dan kefahaman tentang proses demokrasi dan pilihan raya, maka
diharapkan mereka akan menunaikan tanggungjawab untuk keluar mengundi
semasa pilihan raya," katanya.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan