Sinar Harian

Bersih
2.0 mendakwa, tindakan yang cuba mendapatkan kelebihan politik oleh
Gabungan Parti Sarawak dan kerajaan Persekutuan boleh memakan diri.
SHAH ALAM:
Pembatalan darurat di Sarawak menyebabkan seramai 666,000 anak muda
tidak sempat untuk menjadi pengundi kali pertama di negeri tersebut.
Menurut
kenyataan media Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), ini
kerana pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran secara automatik dijadualkan
berlangsung pada hujung tahun ini.
“Bersih
2.0 kecewa dengan pembatalan proklamasi darurat Sarawak semalam (Rabu)
yang membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak dalam
tempoh 60 hari memandangkan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) telah
tamat pada 7 Jun 2021.
“Walaupun
tempoh darurat Sarawak sehingga 2 Februari 2022, adalah munasabah untuk
mengandaikan bahawa pembatalan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong
selepas perundingan bersama Yang di-Pertua Negeri Sarawak untuk
mencetuskan pilihan raya adalah satu perkiraan politik bagi menafikan
pengundi muda,” kata kenyataan itu semalam.
Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan proklamasi darurat bagi Sarawak yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.
Pemangku
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Azuan Effendy
Zairakithnaini berkata, perkenan Seri Paduka Baginda terhadap penamatan
proklamasi darurat itu selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan
Persekutuan.
Sementara itu, Bersih 2.0
berkata, tindakan yang cuba mendapatkan kelebihan politik oleh Gabungan
Parti Sarawak (GPS) dan kerajaan Persekutuan boleh memakan diri.
Katanya,
ia apabila mereka terpaksa berhadapan dengan pengundi muda yang sama
dalam masa kurang dua tahun semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk
kerusi Persekutuan.
Dalam pada itu,
Bersih 2.0 menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya membenarkan
pengundi Sarawak di Semenanjung untuk mengundi tanpa perlu 'terbang' ke
kawasan masing-masing.
“Ini hanya dapat
dilaksanakan dengan mengkategorikan sebagai pengundi tidak hadir dan
membenarkan undi awal di pusat pengundian berpusat, sekurang-kurangnya
satu di setiap negeri di semenanjung.
“Kami
juga menggesa Menteri Kesihatan untuk bekerjasama dengan SPR bagi
membantu pengundian dan kempen secara selamat, berbanding mengambil
langkah zalim melarang semua aktiviti pilihan raya secara fizikal
sebagaimana yang berlaku di Melaka,” ujarnya.
Tambah
kenyataan itu, SPR perlu secara proaktif memberikan jalan alternatif
yang selamat untuk kempen pilihan raya kepada semua calon dan parti
politik seperti mendapatkan semua media kerajaan supaya menyediakan masa
siaran yang sama rata kepada semua calon dan parti politik.
“Ia
untuk mengiklankan kempen politik di radio dan televisyen, menganjurkan
debat calon Menteri Besar atau Ketua Menteri dan memastikan liputan
berita yang sama rata kepada semua calon dan parti politik.
“Hal
ini sangat mustahak terutama di kawasan pedalaman Sarawak di mana radio
dan televisyen adalah sumber utama maklumat kepada rakyat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan