HALAMAN SANTAI

Sabtu, 12 April 2008

Bekas hakim dituduh palsukan dokumen
Oleh Sariha Mohd Ali


RAUB: Bekas Hakim Mahkamah Sesyen, Zunaidah Mohd Idris, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas tuduhan memalsukan satu dokumen mengenai rekod kes jenayah ketika bertugas sebagai hakim di sini, pada 2005.

Zunaidah, 48, yang kini bertugas sebagai pegawai pentadbiran di Pejabat Peguam Negara di Putrajaya, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zainal Abidin Kamarudin, jam 10.30 pagi.

Berikutan itu, Zainal Abidin menetapkan 8 Julai ini untuk perbicaraan kes dan membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin terhadap Zunaidah sementara menunggu tarikh perbicaraan.

Zainal Abidin berkata, mahkamah memberi keutamaan terhadap kes ini kerana ia membabitkan pegawai tinggi kerajaan. Zunaidah sebelum ini juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu di Mahkamah Majistret di sini, pada 14 September 2005.

Mengikut kertas pertuduhan, Zunaidah, ketika menjadi Hakim Mahkamah Sesyen di sini, memalsukan satu dokumen rekod mahkamah yang dibuat Majistret Nurul Mardhiah Redza bagi kes tangkap 83-238-2005 di Mahkamah Majistret di sini.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 466 Kanun Keseksaan, dituduh melakukan kesalahan itu di kamar Hakim Mahkamah Sesyen, Jalan Bukit di sini. Jika sabit kesalahan, Zunaidah boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan didenda.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hanafiah Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam Azlan Abdul Hamid.

Mohd Hanafiah memberitahu mahkamah, pihaknya akan mengemukakan 10 saksi ketika perbicaraan kes itu. Kes itu akan dikendalikan Ketua Bahagian Pendakwaan di Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden.

Bagaimanapun, usaha untuk mendapatkan gambaran jelas daripada Mohd Hanafiah gagal.

Zunaidah pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Klang dan mengendalikan kes tiga pemimpin Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf), Waytha Moorthy Ponnusamy, 41; Uthayakumar Ponnusamy, 46 dan S Ganapathi Rao Veramah, 34, yang didakwa mengeluarkan perkataan berbaur hasutan di Restoran Yun He, Sungai Rambai, Batang Berjuntai, Kuala Selangor.

Bagaimanapun, Zunaidah melepas tanpa membebaskan ketiga-tiga mereka yang didakwa mengikut Akta Hasutan, kerana menganggap pertuduhan terhadap mereka tidak jelas.

Berikutan itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, memohon semakan semula di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Mahkamah Tinggi kemudian memerintahkan ketiga-tiga tertuduh supaya dihadapkan semula ke Mahkamah Sesyen Klang atas tuduhan mengikut Akta Hasutan.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the TV de LCD, I hope you enjoy. The address is http://tv-lcd.blogspot.com. A hug.