Black 14: Polis enggan ke pejabat MB
Soon Li Tsin
Pemimpin PKR dan polis sedang mengadakan rundingan tentang lokasi untuk mereka memberi kenyataan dalam siasatan berhubung perhimpunan 'Black 14' di Kampung Baru malam Isnin lalu.
Pagi ini polis menolak pelawaan parti itu untuk ke pejabat menteri besar Selangor di Shah Alam untuk mengambil kenyataan pemimpin parti tersebut.
Sebaliknya, polis meminta pemimpin PKR terbabit - termasuk presidennya Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan naib presiden Azmin Ali - hadir di ibu pejabat polis Selangor, juga di Shah Alam.
PKR sedang berbincang dengan peguam-peguamnya mengenai langkah yang akan diambil selanjutnya.
Semalam, polis ke rumah Wan Azizah, Khalid, Azmin dan Yahya Sahri, pembantu Khalid, untuk mengadakan siasatan berhubung perhimpunan tersebut.
Polis mendakwa perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman itu haram dan diadakan tanpa permit polis.
Berbincang dengan peguam
Bagaimanapun, ekoran kegagalan mereka untuk mendapatkan sebarang kenyataan daripada pemimpin PKR terbabit, polis telah mengarahkan mereka hadir di balai polis Dang Wangi pada jam 3 petang semalam.
Mereka bagaimanapun memutuskan tidak akan hadir di balai tersebut sehinggalah pihak polis menunjukkan salinan laporan yang dikatakan dibuat berhubung perhimpunan tersebut.
Mereka, termasuk Wan Azizah, memaklumkan bahawa jadual tugasan mereka penuh dan tidak dapat hadir di balai tersebut.
Ekoran itu, lewat malam tadi, media dimaklumkan bahawa pemimpin PKR tersebut akan berjumpa pihak polis di pejabat Khalid di bangunan kerajaan negeri di Shah Alam pagi ini.
Mereka, termasuk media, menunggu ketibaan polis sejak awal pagi ini tetapi kemudian diberitahu polis enggan datang ke pejabat kerajaan negeri.
Setiausaha politik Khalid, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, polis telah menghantar faksimili untuk memaklumkan perkara tersebut pagi ini.
"Sebaliknya, mereka mahu kita ke ibu pejabat polis Selangor di Shah Alam.
"Kita sedang berbincang langkah selanjutnya, dengan para peguam kami," katanya kepada Malaysiakini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan