HALAMAN SANTAI

Rabu, 16 April 2008

Dr Wan Azizah persoal pengawasan keselamatan di KLIA
Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Presiden Parti Keadilan Rakyat (KeADILan), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mempersoal pengawasan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang sangat rapuh hingga berlaku rompakan besar baru-baru ini.

Menurut Dr Wan Azizah, beliau bimbang dengan keadaan keselamatan tatkala pihak berkuasa terlalu banyak tertumpu kepada arahan politik.

Lebih mengecewakan hingga kini kes rompakan tersebut masih belum selesai, katanya.

Sebaliknya beliau tidak menolak kemungkinan bahawa polis kini lebih menumpukan soal memantau ceramah politik termasuk himpunan rakyat seperti sambutan 'Black 14' yang menyaksikan beliau mendapat notis perintah supaya ke Balai Polis Dang wangi jam 3.00 petang ini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media di rumahnya berhubung notis yang diterima daripada Balai Polis Dang Wangi pagi tadi.

Sementara Dr Wan Azizah mempertikai soal keselamatan KLIA, seorang wartawan daripada salah sebuah akhbar Indonesia yang hadir dalam sidang media tersebut mendakwa pengawasan keluar masuk di KLIA agak longgar.

Dakwanya, ada warga Indonesia yang mudah lolos di KLIA keluar masuk ke Malaysia meskipun lapangan terbang itu adalah antara yang tercanggih di dunia.

Sementara itu perkembangan terkini mengenai kes rompakan di KLIA menyaksikan, pada 13 April lalu polis mengakui masih belum membuat tangkapan terhadap empat lelaki yang terlibat dalam rompakan bernilai S$1.5 juta (RM3.5 juta).

Ketua Polis Selangor, Dato' Khalid Abu Bakar berkata, polis masih meneruskan siasatan dan percaya keempat-empat suspek itu akan ditangkap secepat mungkin.

"Kita sedang menjalankan siasatan dan telah mengambil keterangan daripada mangsa yang cedera ketika rompakan itu telah diambil," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Khalid, anggota polis yang cedera, Lans Koperal Zainudin Md. Isa turut diambil keterangan dan maklumat itu dikumpulkan untuk tujuan siasatan.

Pada 9 April lalu, enam orang termasuk seorang anggota polis, seorang warganegara Nepal dan dua pengurup wang cedera ditembak dalam rompakan nekad di luar Balai Pelepasan KLIA.

Kejadian pada pukul 7.50 malam itu berlaku sebaik kedua-dua pengurup wang yang diiringi dua pengawal peribadi keluar daripada kenderaan dengan membawa beg mengandungi wang berkenaan untuk bertemu seorang rakan yang baru tiba dari Singapura.

Tiada ulasan: