HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 April 2008

Filem Negara bakal berubah wajah


PETALING JAYA: Filem Negara Malaysia bakal digerakkan sebagai pemangkin kepada perkembangan industri kreatif negara dalam bentuk filem, animasi, promo dan treler yang semakin penting dalam kecanggihan zaman teknologi informasi.

Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini berkata pembaharuan itu tidak mengubah peranan Filem Negara sebagai sebuah pusat dokumentasi pelbagai program penerangan dan perfileman arkib selama ini.

Beliau berkata peningkatan karyakarya kreatif tempatan dengan kualiti yang bertaraf antarabangsa perlu dikembangkan seiring dengan pembangunan saluran informasi yang semakin aktif dan agresif.

"RTM (Radio Televisyen Malaysia) sendiri, misalnya, akan dipertingkatkan lagi bilangan salurannya apabila kita mendigitalisasikan RTM. Sekarang masih di peringkat analog, kita ada dua saluran dan RTM mungkin ada lima, enam saluran satu masa nanti.

"Sudah tentulah ruang ke udara dan sebagainya semakin bertambah, dan kita tidak mahu ruang yang banyak itu hanya diisi dengan kandungan yang diimport dari luar sematamata," katanya kepada pemberita selepas melawat ibu pejabat Filem Negara di sini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata Malaysia memiliki ramai karyawan muda yang mampu melahirkan karyakarya kreatif yang berkualiti tinggi, justeru peluang yang lebih banyak perlu diberikan kepada mereka bagi membolehkan hasil yang dilahirkan disebarkan ke peringkat antarabangsa.

"Kita rasakan dengan kemudahan yang ada di Filem Negara ini kita mahu fikirkan macam mana hendak memupuk bakatbakat yang ada dalam negara kita. Kita sedar ada banyak institusi yang telah dilahirkan selain percambahan institusi swasta yang melahirkan bakat muda tempatan.

"Sepatutnya kita memberi kemudahan kepada mereka untuk membuat hasil karya yang hasilnya bukan sahaja boleh digunakan oleh badan penyiaran tempatan atau agensi lain tapi boleh disebarkan ke seluruh dunia," katanya.

Ahmad Shabery berkata satu pertemuan dalam jangka masa terdekat akan diadakan bersama semua karyawan berkenaan bagi membincangkan dengan terperinci bentuk kerjasama yang boleh dijalinkan.

"Kita akan tengok apa bentuk kerjasama yang kita boleh lakukan. Apakah mereka perlukan kerjasama dari segi penggunaan tempat kita, kemudahan kita?

Kita ada studio, peralatan makmal tetap kemudahan secanggih ini hanya digunakan oleh kerajaan sahaja.

Saya mahu lihat satu hari nanti semua penerbitan kecil yang mungkin tidak mampu membiayai pembelian peralatan canggih menggunakan semua kemudahan yang ada ini," katanya.

Justeru katanya, Filem Negara mungkin melalui transformasi sebagai perkampungan penerbitan yang membolehkan semua artis, pengarah dan penerbit dapat berkumpul ke arah memperkayakan lagi industri informasi negara.

"Kita juga akan meneruskan program Anugerah Filem Pendek, yang tidak melebihi lima minit untuk karyawan yang berumur tidak lebih daripada 30 tahun.

"Saya percaya kita boleh buat dan kita juga akan mencari mekanisma yang sesuai untuk membolehkan karya kita dinilai oleh pihak luar, berbanding sebelum ini apabila karya kita hanya dinilai secara dalaman," katanya.

Menyentuh mengenai penambahan kepada beberapa kemudahan yang ada seperti makmal pemprosesan, beliau berkata ia akan dilakukan mengikut keperluan.

"Sekiranya perlu, kita akan besarkan. Itu bergantung kerana kalau tidak perlu, tidak perlu besarkan kerana akhirnya menjadi gajah putih," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: