HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 April 2008

Guru-guru SAR Kedah terima kenaikan gaji,elaun
Bashir Ishak


ALOR SETAR (Hrkh) - Kerajaan Negeri Kedah memutuskan untuk menaikkan gaji dan elaun guru-guru Sekolah Agama Negeri Kedah demikian diumumkan oleh Menteri Besar, Ustaz Azizan Abdul Razak.

Menurutnya, kenaikan itu bagi membolehkan para guru menerima gaji yang setimpal berdasarkan kelulusan masing-masing mengikut gred Sistem Saraan Malaysia (SSM).

"Kenaikan ini melibatkan guru-guru di Sekolah Agama Negeri yang berada di bawah Majlis Agama Islam. Mereka kini dibantu oleh majlis agama. Kerajaan telah bersetuju menaikkan gaji mereka mulai bulan April ini bagi membolehkan mereka menerima gaji sama seperti di sekolah agama kerajaan atau sekolah bantuan penuh kerajaan.

"Inilah berita gembira kepada mereka guru-guru sekolah agama sebagai hadiah dari kerajaan negeri," katanya kepada para pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darulaman semalam.

Secara keseluruhan, kenaikan gaji tersebut melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta sehingga akhir tahun ini.

Sementara itu, Exco Pendidikan Kedah, Abdullah Jusoh yang ditemui kemudian menjelaskan bahawa cadangan Skim Perkhidmatan Gaji dan Elaun Guru Sekolah Agama Negeri Kedah yang diluluskan oleh mesyuarat Exco semalam membabitkan seramai 217 orang guru di 21 buah sekolah agama.

"Kita menjalankan semakan semula skim gaji guru dan mereka akan dibayar mengikut kelulusan masing-masing sama ada Ijazah, Diploma atau STPM," jelasnya.

Dalam pada itu, Ustaz Azizan juga menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Kedah telah bersetuju untuk mengambil-alih tanah tapak Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Pumpong sebagai pampasan kepada mereka yang akan berpindah ke tapak baru di Suka Menanti.

Pampasan itu menurutnya akan digunakan untuk mereka membayar harga tanah yang mereka beli untuk tapak tanah sekolah yang baru.

"Ini akan dibiayai melalui bajet akan datang. Kerajaan setuju untuk ambil alih tanah ini dan ganti wang untuk mereka bayar tanah di Suka Menanti. Ini adalah untuk harga tanah sahaja bukan untuk pembinaan bangunan," jelasnya. - mks.

Tiada ulasan: