Jangan terburu-buru jual tanah kerana isu babi
KUALA LUMPUR: Penduduk Melayu sekitar Ladang Tumbuk, Kuala Langat diminta supaya jangan mudah terpengaruh dengan pujukan pihak tertentu supaya menjual tanah mereka semata-mata hanya kerana kerajaan Selangor akan melaksanakan projek ternakan babi berkelompok bernilai RM100 juta di kawasan itu.
Presiden Persekutuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamad Izat Emir berkata walau apa pun yang berlaku, penduduk Melayu di kawasan itu perlu mempertahankan tanah mereka terutamanya tanah pusaka.
"Jangan tergesa-gesa menjual tanah kerana kekuatan orang Melayu sekarang ialah pada tanah yang mereka miliki. Jangan mudah dengar hasutan pihak tertentu kononnya harga tanah di kawasan itu akan merudum apabila projek itu dilaksanakan," katanya kepada Bernama.
Beliau mengulas tentang bantahan penduduk sekitar Ladang Tumbuk terhadap cadangan kerajaan negeri membina ladang penternakan babi secara moden di kawasan itu.
Izat berkata sepatutnya kerajaan negeri Selangor yang kini dikuasai oleh Pakatan Rakyat hendaklah sensitif dengan sensitiviti orang Melayu serta masyarakat Islam dan mencari kawasan yang jauh dari penempatan orang Melayu bagi melaksanakan projek itu.
Justeru, beliau menasihati penduduk Melayu di kawasan itu supaya bersabar dan melihat dahulu perkembangan isu itu sebelum membuat sebarang keputusan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan