HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 April 2008

Jangka hayat Umno/BN hampir tiba, Anwar sudah sedia jadi PM
Mohd Rashidi Hassan


Ada banyak ramalan bahawa Dato' Seri Anwar Ibrahim bakal menjadi Perdana Menteri Malaysia tidak lama lagi, hingga ada yang meramalkan enam bulan dari tarikh 8 Mac 2008.

Jika Anwar hendak menjadi PM, beliau mestilah menjadi Ahli Parlimen (MP) yang menang dalam pilihan raya Parlimen.

Tetapi Pilihan Raya Umum ke-12 dipercepatkan, sedangkan Anwar hanya layak bertanding pada bulan April 2008.

Jika hendak ditunggu PRU ke-13, barangkali tahun 2012 atau 2013, agak terlalu lama.
Pada masa itu belum tentu, keputusan sebaik PRU ke-12, 8 Mac lepas boleh berulang kembali.

Mungkin juga boleh mencatatkan keputusan yang lebih baik buat gabungan Pakatan Rakyat.

Apapun menunggu empat atau lima tahun terlalu lama buat Anwar. Tiada jalan lain untuk beliau melainkan bertanding pada pilihan raya kecil.

Pilihan raya boleh diadakan hanya melalui tiga opsyen, iaitu jika Parlimen dibubarkan, anggota Parlimen meletak jawatan (sama ada hilang kelayakan atau tidak berminat menjadi wakil rakyat) dan jika terdapat anggota Parlimen meninggal dunia.

Parlimen hanya boleh dibubarkan jika kerajaan tamat tempoh pemerintahan (setiap lima tahun), atau PM membubarkannya untuk mendapat mandat baru atau berlaku sesuatu krisis yang memaksa ia dibubarkan.

Dalam keadaan sekarang tidak nampak tanda-tanda Parlimen akan dibubarkan.

Manakala opsyen kedua, soal hidup dengan mati, ia adalah ketentuan Allah. Tiada orang tergamak mengharapkan seseorang Ahli Parlimen cepat meninggal dunia semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

Maka opsyen hanya ada pada Anwar ialah menanti seseorang Ahli Parlimen meletak jawatan atau hilang kelayakan atas sebab-sebab tertentu.

Jika pun terdapat petisyen untuk membatalkan kemenangan mana-mana MP, proses mahkamah sudah tentu akan memakan masa.

BN sudah tentu akan berusaha menghalang Anwar bertanding dan masuk ke Parlimen. Maka melengah-lengahkan proses perundangan merupakan jalan terbaik untuk menghalang Anwar.

Pilihan yang ada dalam waktu yang terdekat ini hanyalah dengan perletakan jawatan Ahli Parlimen.

Timbul ura-ura bahawa isteri beliau Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya Nurul Izzah akan mengosongkan kerusi Permatang Pauh atau Lembah Pantai.

Namun kedua-dua kemungkinan tersebut dinafikan Anwar.

KeADILan mempunyai 31 kerusi Parlimen, sebagai Ketua De Facto Anwar boleh bertanding di mana-mana sahaja kawasan yang beliau mahu.

Namun pilihan yang utama, ada di dua kawasan kerana Ahli Parlimen kawasan tersebut turut menang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dua kerusi itu adalah Bandar Tun Razak yang diwakili oleh Tan Sri Khalid Ibrahim yang turut memenangi kerusi Dun Ijok. Manakala Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmin Ali menang di Parlimen Gombak dan Dun Bukit Antarabangsa.

Justeru jika jalan hendak dibuka kepada Anwar, Khalid atau Azmin harus meletakkan jawatan sebagai MP. Jika benar KeADILan mahukan Anwar masuk ke Parlimen, mana-mana MPnya harus sedia berkorban.

Dan jika diberi pilihan antara Bandar Tun Razak atau Gombak. Apapun, dalam keadaan sekarang ada pandangan mengatakan Khalid lebih wajar memberi laluan kepada Anwar peranannya lebih besar di Selangor sebagai Menteri Besar.

Apapun keputusannya adalah di tangan Anwar. Tunggu sahaja tarikh akhir Anwar boleh bertanding dengan bebas 14 April ini. Barangkali ada kejutan yang akan berlaku.

Anwar tidak ada jalan lain jika hendak menjadi PM. Itu sahaja opsyen yang terbaik buat beliau ketika ini.

Tiada ulasan: