Kontraktor kelas F dapat agihan projek bernilai RM10 juta ke atas
KUALA LUMPUR: Kontraktor Kelas F kini berpeluang mendapat projek daripada semua kontrak di bawah perlaksanaan Kementerian Kerja Raya yang berharga RM10 juta ke atas.
Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed berkata langkah itu sejajar dengan dasar komprehensif kementerian bagi memastikan semua 17,000 kontraktor Kelas F yang aktif di seluruh negara mendapat kerja di bawah pelaksanaan projek mega Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9).
"Sebelum ini kontraktor Kelas F hanya berpeluang mendapat kerja yang harga projeknya bernilai RM200,000 ke bawah," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.
Beliau berkata kerajaan sedar rungutan di kalangan kontraktor Kelas F tentang kesukaran mendapat projek sejak kebelakangan ini.
"Langkah ini akan mewujudkan peluang kerja yang lebih banyak bagi golongan ini dan merealisasikan dasar perkongsian dan penglibatan secara langsung di dalam RMK9," katanya.
Mohd Zin berkata inisiatif ini juga adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengembangkan kemampuan kontraktor Kelas F dan kementerian berharap menerusi konsep ini akan lahir para kontraktor yang mahir melakukan kerja dalam bidang pengkhususan seperti membubuh lapisan lepa, pemasangan sistem paip dan pendawaian.
Beliau berkata kementerian juga bercadang untuk mewujudkan satu sistem penanda aras kemahiran pekerja mahir dalam sektor pembinaan bagi melahirkan pekerja yang bangga dengan kemahiran masing-masing.
"Dalam hal ini, Lembaga Kemajuan Perindustrian Pembinaan (CIDB) akan memainkan peranan mewujudkan satu kaedah penanda aras kemahiran seperti di negara maju.
"Langkah ini sekaligus akan mengurangkan penggantungan negara terhadap tenaga kerja mahir asing," katanya.
Mohd Zin berkata setakat ini kementerian sedang mengeluarkan 24 bilangan Surat Setujuterima yang melibatkan projek berharga RM2.2 bilion dan daripada jumlah itu RM220 juta akan diperuntukkan kepada kontraktor Kelas F yang akan dinikmati oleh kira-kira 1,000 syarikat kontraktor Kelas F.
Beliau berkata jumlah keseluruhan yang telah diproses adalah 12 kontraktor utama membabitkan harga kontrak berjumlah RM1.3 bilion dan daripada jumlah itu sebanyak 572 kontraktor Kelas F akan ditawar kerja oleh kontraktor utama membabitkan kontrak bernilai sebanyak RM131 juta manakala selebihnya akan dilulus kemudian.
"Daripada kontrak bernilai RM131 juta itu akan diagihkan kepada kontraktor Kelas F iaitu RM70.6 juta di Terengganu, RM37 juta di Sabah, RM12.3 juta di Selangor, RM5.23 juta di Negeri Sembilan, RM4.02 juta di Kuala Lumpur, RM2.04 juta di Kelantan dan RM1.9 juta di Perak," katanya.
Beliau berkata kementerian akan memantau pembayaran kepada kontraktor Kelas F terbabit oleh kontraktor utama melalui satu mekanisme yang diwujudkan.
"Kementerian juga akan sentiasa memantau perlaksanaan kerja kontraktor Kelas F bagi memastikan mutu kerja tidak terjejas, langkah ini akan mewujudkan sektor pembinaan yang lebih cekap dan efisien serta melahirkan pekerja mahir tempatan," katanya.
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan