HALAMAN SANTAI

Jumaat, 18 April 2008

Pembabitan politik - Pelajar UIA bebas daripada tuduhan
Intan Abdullah

KUALA LUMPUR (Hrkh) - Seorang mahasiswa tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa, Meor Isfandy Meor Azizan yang dihadapkan ke Mahkamah universiti terbabit selepas dituduh terlibat dalam penubuhan parti politik semasa pilihan raya umum lalu dibebaskan setelah didapati tidak bersalah.

Dalam prosiding kes terbabit semalam, Meor yang tidak diwakili oleh mana-mana peguam, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan Pendakwaraya kes itu, Mohamad Mos yang juga merupakan Penolong Kanan Pengarah Unit Undang-undang UIA.

Pihak pendakwaraya juga mengemukakan beberapa bahan bukti seperti video klip tertuduh ketika mengeluarkan kenyataan kepada media serta seorang saksi iaitu Mohd Asri, Timbalan Pengarah Bahagian Ilmu Wahyu.

Meskipun beliau mengaku visual yang dipaparkan sebagai dirinya, namun kekeliruan timbul apabila pihak pendakwaraya serta panel hakim yang terdiri daripada Profesor Azmi Harun dan Profesor Zuhairah gagal menyelesaikan masalah status Meor yang kini bukan lagi bergelar mahasiswa yang masih menuntut.

Menurut Mohd Asri, status Meor pada masa ini adalah menunggu untuk tamat pengajian memandangkan beliau telah pun menghabiskan semua mata pelajaran yang seharusnya diambil bagi membolehkan beliau bergelar graduan.

"Tuduhan yang dikemukakan pihak pendakwa adalah tidak berasas kerana saya lebih percaya bahawa saya telah menamatkan pengajian dan lulus.

"Cuma status 'graduated' masih belum diluluskan oleh pihak lembaga senat universiti yang memberikan pihak pendakwa meneruskan hujah mereka," ujarnya kepada Harakahdaily.

Bagaimanapun, beliau mempertikaikan tindakan pihak universiti yang melanggar perlembagaan UIA kerana menggantung pengajiannya selama lebih daripada dua bulan.

"Berpandukan kepada perlembagaan UIA, pihak lembaga disiplin hanya boleh menggantung pengajian seseorang pelajar tidak lebih daripada tujuh hari sahaja, tetapi saya digantung lebih dua bulan," katanya.

Ujar Meor, dalam hal ini pihak pendakwa raya tiada sebarang hujah untuk menyangkal kenyataan Meor tersebut.

Justeru, pihak mahkamah UIA telah memutuskan beliau tidak bersalah serta penggantungan terhadapnya dibatalkan.

Namun begitu, ia hanya dinyatakan dalam prosiding tersebut tanpa sebarang kenyataan rasmi secara surat menyurat.

Ujar Meor lagi, pihaknya akan melakukan tindakan susulan dengan pihak UIAM untuk mengambil langkah berikutnya.

"Saya tidak pasti lagi apa yang akan dibuat selepas ini terhadap pihak universiti," katanya.

Meor yang dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin universiti telah digantung pengajian.

Beliau dihalang daripada menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di samping tidak membenarkan beliau mengambil keputusan penuh pengajian.

Setakat ini juga, beberapa lagi pemimpin dan aktivis mahasiswa tidak dikenakan sebarang tindakan.

Pengerusi Penaja Parti Mahasiswa Negara, Azlan Zainal telah disoal siasat pegawai polis yang datang mendapatkan keterangannya untuk dipantau Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri berhubung penglibatan mahasiswa dalam pilihan raya umum ke-12. - mr

Tiada ulasan: