Pemimpin 'gelapkan' wang punca Umno tewas
Oleh BHS
Kuala Lumpur : Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin mendedahkan ada perbuatan pemimpin Umno 'menggelapkan' wang kempen pilihan raya sehingga menyebabkan calon parti itu kalah dalam pilihan raya umum pada 8 Mac lalu.
Naib presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam, berkata pendedahan Datuk Seri Abdullah ketika majlis penerangan bersama presiden Umno, melibatkan perbuatan pemimpin tertentu melakukan sabotaj dengan tidak mengagihkan wang tersebut kepada jentera pilihan raya.
Sebaliknya, wang itu disimpan pemimpin tersebut bagi digunakan ketika pemilihan dalam parti nanti.
Datuk Seri Mohd Ali berkata tindakan itu juga bertujuan memastikan calon tertentu kalah kerana kebimbangan jika menang beliau akan lebih bersemangat untuk merebut jawatan dalam pemilihan parti.
'Kita melihat banyak ahli menyesal kerana melakukan perbuatan sabotaj ini semata-mata disebabkan tidak menyukai calon yang dipilih, sehingga menyebabkan kita kalah di kawasan sendiri,' katanya.
Menurut Datuk Seri Mohd Ali, Datuk Seri Abdullah juga berkata antara faktor yang menyebabkan sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN) berkurangan ialah masalah kenaikan harga minyak dan barangan.
Sementara itu, timbalan presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga timbalan perdana menteri, semalam berkata Umno sudah menerima gambaran awal mengenai individu yang didakwa terlibat dalam tindakan mensabotaj parti itu dalam pilihan raya lalu.
Menurutnya, jika terbukti bersalah, individu terbabit boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk dipecat keanggotaannya seumur hidup.
Beliau berkata, setakat ini belum ada tindakan diambil memandangkan jawatankuasa disiplin parti belum menerima sebarang laporan rasmi bertulis daripada mana-mana pihak.
'Ada suara-suara yang kita sudah dengar daripada anggota parti dan calon-calon yang kalah tetapi itu tidak mencukupi untuk kita memulakan prosiding disiplin terhadap mana-mana anggota parti. Mesti ada laporan bertulis,' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan