HALAMAN SANTAI

Isnin, 14 April 2008

Pengerusi Penaja PMN disiasat polis
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Penglibatan Parti Mahasiswa Negara (PMN) dalam pilihan raya umum baru-baru ini jelas meninggalkan kesan kepada persada politik tanah air.

Pengerusi Penaja PMN, Azlan Zainal berkata beliau dimaklumkan pegawai polis yang datang mendapatkan keterangannya bahawa Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri ingin memantau hasil soal siasat terhadap kes PMN dalam pilihan raya umum ke-12.

"Pegawai polis yang datang menemui saya memberitahu, 'awak nak tahu siapa yang mahu meneliti kenyataan awak ni? Ketua Polis di Ibu Pejabat Bukit Aman dan Perdana Menteri," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Malah menurut pegawai polis berpangkat Asisten Superitendan itu ujar Azlan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) telah gagal membendung kegiatan serta aktiviti mahasiswa.

"Oleh sebab itu, pihak polis terpaksa campur tangan dan mengambil alih fungsinya," demikian katanya.

Azlan disoal sisat polis minggu lalu selepas mendapat aduan daripada pihak universiti mengenai penglibatannya dalam perhimpunan haram yang diadakan di Dataran Senawang, Rembau 2 Mac lalu.

"Kita hanya mahu bertemu dengan calon-calon daripada BN dan KeADILan yang bertanding di sana kerana kagum dengan ketokohan mereka sebagai calon muda yang baru meningkat naik dalam arena politik semasa," katanya.

Beliau mendakwa Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, pensyarah serta pengetua-pengetua kolej kediaman turun dengan bas bagi menjalankan pemantauan ke atas aktiviti yang mereka jalankan di Dataran Senawang sekali gus mengambil tindakan membuat laporan polis.

Azlan juga menjelaskan bahawa pertemuan pegawai itu memakan masa dua jam 31 Mac lalu di pejabat ijazah dasar, Akademi Pengajian Islam iaitu tempat beliau menuntut dalam jurusan bioteknologi dan agama di peringkat semester terakhir.

PMN, dalam kenyataan mereka di Rembau menyatakan kesediaannya untuk bertemu dua calon generasi muda yang bersaing merebut kerusi parlimen Rembau iaitu Khairy Jamaluddin yang mewakili BN dan Badrul Hisham Shaharin daripada KeADILan, dan kemenangan berpihak kepada Khairy, yang juga naib ketua Pemuda Umno, pada 8 Mac.

Kenyataan itu mengkritik Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan mendakwa Perdana Menteri 'memperalatkan mahasiswa untuk membantu kempen dan memperalatkan mereka untuk menyokong BN' seperti satu program di Putrajaya pada 1 Mac.

PMN sebelum ini pernah cuba meletakkan calon di Kepala Batas untuk mencabar Abdullah.

Bagaimanapun, menurut parti yang baru memohon pendaftaran awal tahun ini, calon mereka dihalang oleh polis untuk memasuki dewan tempat pencalonan.

Azlan berkata polis atau pihak universiti tidak pernah menyiasat atau mengambil tindakan terhadap pembabitannya di Kepala Batas.

Setakat ini juga, katanya lagi, beberapa lagi pemimpin dan aktivis PMN tidak dikenakan sebarang tindakan.

Sungguhpun begitu, pihak Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) akan mengambil tindakan tatatertib kepada seorang mahasiswa tahun akhir berhubung pembabitannya dalam kempen pilihan raya umum ke-12.

Meor Isfandi Meor Azizan, yang dipanggil menghadap jawatankuasa disiplin universiti dalam prosiding yang masih belum diketahui masanya, telah digantung pengajian.

Beliau dihalang daripada menerima pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di samping tidak membenarkan beliau mengambil keputusan penuh pengajian. - mns

Tiada ulasan: