HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 April 2008

Pilihan raya kecil di Tasek Gelugor?
Mohd Sabri Said


TASEK GELUGOR (Hrkh) - Agak janggal apabila Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba-tiba datang ke Parlimen Tasek Gelugor bagi menghadiri majlis meraikan kemenangan calon-calon BN kerana sebelum ini Tasek Gelugor dianggap zon paling selamat berbanding lain-lain kawasan parlimen di Pulau Pinang.

Sekarang ini dua kawasan parlimen sahaja menjadi milik Umno/BN iaitu Kepala Batas dan Tasek Gelugor, yang lainnya seperti Permatang Pauh, Nibong Tebal dan Balik Pulau semuanya terlepas ke tangan parti-parti lawan.

Tentunya, kunjungan Abdullah ke Parlimen Tasek Gelugor terselit agenda tertentu sehingga ada yang membuat andaian kemungkinan berlaku pilihan raya kecil di situ.

Adakah pilihanraya kecil akan berlaku di salah satu Dewan Undangan Negeri (Dun) di kawasan parlimen tersebut ekoran laporan polis yang dibuat oleh pemimpin Umno sendiri kerana tidak puas hati apabila ada nama calon dibatalkan di saat-saat akhir.

Ramai juga yang terkejut bila mendapat tahu Presiden Umno datang ke Dewan Besar Sungai Dua, walhal lazimnya beliau memandang ringan kawasan terbabit kerana hubungannya dengan Ketua Bahagian, Dato' Seri Shariff Omar kurang rapat.

Maka sebab itu, Abdullah meletakkan Ustaz Shahbudin Yahya sebagai calon bidan terjun dalam pilihan raya umum 2004.

Bagaimanapun Shahbudin yang juga Adun Permatang Berangan tidak sehaluan dengan Shariff dan ia terbawa-bawa sehingga pilihan raya umum ke-12.

Apa tidaknya, kumpulan yang tidak sebulu dengan Ketua Bahagian Tasek Gelugor membawa orang luar sebagai calon.

Apa pun semua pihak kena tunggu dan lihat perkembangan seterusnya terutama PAS yang bertanding di Dun Sungai Dua.

Dalam pilihan raya umum lalu, PAS hanya tewas dengan lebih 500 undi sahaja.

PAS menang di Unit Peti Undi (UPU) majoriti Cina seperti Taman Desa Murni dan Kampung Teluk yang tidak pernah berlau sebelum ini.

Bagaimanapun PAS kalah teruk di UPU Pajak Song yang rata-rata pengundinya masyarakat Melayu Islam.

Jelas masyarakat Melayu masih lena di buai mimpi lunak di atas tilam empuk walaupun di bawah katilnya dilimpahi air banjir.- tajdid

Tiada ulasan: