HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 April 2008

Polis minta orang ramai berwaspada dengan surat tawar wang tunai lumayan


KUANTAN: Orang ramai diingatkan supaya tidak mudah tertipu apabila menerima surat daripada syarikat tertentu yang menawarkan wang tunai lumayan, namun menuntut sejumlah bayaran pendahuluan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Supt Zaini Jass berkata setakat ini polis menerima dua laporan mengenai kegiatan itu membabitkan kerugian melebihi RM260,000.

Beliau berkata, dalam kes pertama mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 40 tahun dari Temerloh menerima sepucuk surat dari sebuah syarikat yang dikatakan beroperasi di Kuala Lumpur yang menyatakan bahawa beliau memenangi wang tunai berjumlah RM135,000.

"Mangsa bagaimanapun perlu mematuhi beberapa syarat tertentu sebelum menerima wang tersebut seperti membayar sejumlah wang pendahuluan bagi proses pengurusan dan penghantaran," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, mangsa yang tertarik dengan tawaran yang diterimanya pada September tahun lepas itu kemudian membuat bayaran kepada syarikat terbabit melalui satu akaun bank secara berperingkat sehingga mencecah RM145,934.

Zaini berkata mangsa kemudian menerima satu lagi surat dari syarikat terbabit yang berjanji untuk memasukkan wang tunai berjumlah RM266,598 ke dalam akaun mangsa.

Bagaimanapun, sehingga penghujung bulan lepas mangsa mendapati wang yang dijanjikan masih tidak terdapat di dalam akaunnya menyebabkan beliau mengambil keputusan pergi ke Kuala Lumpur untuk mencari syarikat terbabit namun sia-sia apabila syarikat yang dicari sebenarnya tidak wujud, katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pada Rabu lepas selepas mengesyaki ditipu.

Dalam kes kedua katanya, seorang surirumah berusia awal 60an di Raub terpaksa berputih mata selepas kerugian RM18,900 akibat terpedaya dengan penipuan yang menggunakan modus operandi sama.

Beliau berkata, mangsa menerima surat menyatakan memenangi wang tunai berjumlah RM120,000 melalui sebuah syarikat yang beroperasi di Pulau Pinang.

Wanita itu yang menerima surat berkenaan pada 2005, telah membayar wang pendahuluan sebanyak RM18,900 secara berperingkat ke dalam satu akaun dan hanya membuat laporan polis semalam selepas mengesyaki dirinya telah ditipu, katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: