HALAMAN SANTAI

Khamis, 17 April 2008

Suara desak Abdullah undur bercambah di Selangor
Suhaimi Taib


Desakan terbaru meminta Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi berundur sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno mula lantang di Selangor selepas Johor, Pulau Pinang dan Kedah.

Walaupun Abdullah berkata beliau tetap mahu bertanding jawatan Presiden Umno Disember ini, desakan ahli Umno negeri itu agak lantang kerana selagi Abdullah masih bertahan pada kedudukan parti dan kerajaan yang sedia ada, dipercayai selagi itu ada desakan berundur dibuat oleh ahli-ahli Umno.

Kain-kain rentang yang menggesa Abdullah menyerahkan kuasa kepada timbalannya Dato' Seri Mohd Najib Razak digantung di luar kawasan sebuah hotel di Subang Jaya yang menjadi tempat perjumpaan jawatankuasa pengurusan Umno, dengan ketua-ketua bahagian di negeri berkenaan baru-baru ini.

Kain rentang tersebut yang dipasang oleh gabungan ahli Umno Selangor, dengan jelas menyuarakan sokongan mereka supaya Najib mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan.

Mereka juga menyatakan sokongan kepada Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yasin untuk jawatan nombor dua kerajaan dan parti.

Salah satu kain rentang tersebut berbunyi "kami sayangkan Pak Lah tetapi kami lebih sayangkan Umno".

Manakala yang satu lagi berbunyi "segerakan peralihan kuasa! Dato' Seri Najib - presiden, Tan Sri Muhyiddin - timbalan presiden".

Persoalannya sekaranya ialah konfidenkah rakyat dengan gantian ini sehingga boleh mengurus negara dengan baik atau hanya untuk cuba memulihkan kelemahan parti selepas Pakatan Rakyat berjaya menafikan dua pertiga penguasaan Barisan Nasional (BN) dalam parlimen?

Sebenarnya tradisi politik Umno perlu diubah bukan sahaja pemimpinnya. Kewibawaan pemimpin-pemimpinnya sudah tercemar dengan pelbagai skandal dan rakyat akan memandang jijik skendal mereka jika didedahkan kepada umum.

Jika Najib menggantikan Abdullah dipercayai skandal yang mengelilinginya akan didedahkan semula secara terbuka oleh media membabitkan penyelewengan pemberian barangan keperluan Kementerian Pertahanan dan lain-lain.

Apakah Najib juga mempunyai skandal salah laku seks? Khabar angin sebelum ini mendakwa Najib ada terlibat dengan kes seumpama itu.

Apakah rakyat mahu menerima insan yang didakwa terbabit dengan skandal seks atau salah laku moral ini menjadi perdana menteri?

Sudah tentu selepas mereka membuat perubahan besar dalam pilihan raya umum lalu sehingga berjaya menawan enam wilayah termasuk negeri Selangor, Kedah, Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Wilayah Persekutuan, soal manusia bermoral menjadi pemimpin perlu diberi perhatian demi kesejahteraan rakyat seluruhnya.

Mereka perlu mengambil iktibar bagaimana rakyat Amerika Syarikat (AS) menangani isu sedemikian rupa. Mereka akan mendedahkan skandal seks dan rasuah calon-calon Dewan Senat dan Calon Presiden sekiranya mereka terbabit dengan skandal berkenaan sekali gus calon-calon terbabit sanggup menarik diri dari terus berkempen mempertahankan diri sebagai calon tersebut.

Apakah rakyat AS lebih baik dari rakyat Malaysia? Sudah tentu semua faktor ini akan diambil kira oleh rakyat dalam menentukan kepimpinan negara di masa depan untuk melihat jenayah seksual tidak dipelopori oleh pemimpin sendiri dalam tindak tanduk mereka.

Penulis tidak mahu menuduh Najib ada terbabit dalam kes sedemikain rupa selagi tidak ada bukti yang sahih pembabitannya. Mungkin kesahihannya sama seperti skandal seks bekas Menteri Kesihatan, Dato' Seri Dr Chua Soi Lek dahulu. Ia terbukti apabila beliau sendiri mengakui terbabit dengan kes salah laku seks dengan seorang perempuan dikatakan sebagai kawan lama beliau di sebuah hotel di Johor.

Ringkasnya, apa yang dinyatakan dalam kain pemidang Umno di Selangor itu dipercayai adalah kehendak ahli Umno negeri itu.

Ia tidak membabitkan rakyat Malaysia keseluruhannya. Perubahan dalam Umno secara drastik ketika parti itu masih ditapuk kekuasaan negara mungkin boleh mengukuhkan kedudukan Umno dan BN atau mungkin berlaku sebaliknya.

Sifir politik bukan boleh dibaca seperti sifir matematik. Pergolakan dalaman Umno perlu juga rakyat memberi perhatian agar mereka tidak tersilap langkah memilih parti dan pemimpin sehingga BN dengan tradisi pecah dan perintahnya memusnahkan harapan baru untuk Malaysia.

Rakyat mahu melihat perubahan berlaku dalam struktur politik, sosial dan ekonomi negara di bawah suara baru Pakatan Rakyat bukan di bawah BN atau Umno.

Umno tidak akan berubah menjadi parti pembela nasib Melayu dalam masa terdekat kerana parti itu telah melukai hati orang Melayu sejak 50 tahun lalu.

Rakyat sudah kenal hipokritnya pemimpin Umno selama ini. Mereka mendekati rakyat dengan tujuan tertentu dan tidak ikhlas bukan sebenarnya mahu membela nasib rakyat.

Sebab itulah Melayu terus terpinggir di bawah BN selama parti itu memerintah negara. Begitu juga dengan bangsa-bangsa lain. - mns

Tiada ulasan: