HALAMAN SANTAI

Ahad, 20 April 2008

Umur persaraan baru kakitangan awam belum muktamad


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau masih belum membuat keputusan mengenai umur persaraan baru kakitangan perkhidmatan awam.

Perdana Menteri memberitahu, umur persaraan baru hanya akan diumumkan pada sambutan Hari Pekerja 29 Mei depan anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Tambahnya, CUEPACS telah menyalahtafsirkan kenyataan beliau sambil menegaskan bahawa tidak ada keputusan lagi bahawa umur persaraan akan ditetapkan pada usia 60 tahun.

“CUEPACS telah membuat kenyataan-kenyataan yang mengelirukan. Saya telah mengatakan bahawa saya melihat ini sebagai satu cadangan yang positif.

“Saya bersikap positif mengenainya untuk meningkatkan umur persaraan dan perbincangan tertumpu sama ada ia perlu dinaikkan di antara 58 tahun hingga 60 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyertai Program Pemukiman Ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di sini hari ini.

Perdana Menteri memberitahu, beliau menerima secara positif cadangan yang dikemukakan oleh CUEPACS tetapi belum lagi membuat keputusan.

Presiden CUEPACS, Omar Osman dalam satu pertemuan dengan Perdana Menteri Khamis lalu mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan bersetuju menerima lima tuntutan kongres.

Lima tuntutan itu ialah kadar pencen mengikut perkhidmatan sebenar, pelanjutan umur persaraan daripada 56 tahun kepada 60 tahun, pengubahan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) serta elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan.

Satu lagi tuntutan iaitu pemberian honorarium RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan awam bagaimanapun ditolak oleh kerajaan kerana keadaan semasa termasuk masalah kenaikan harga barang.

Tiada ulasan: