HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mei 2008

Anggaran kemusnahan akibat banjir Disember 2007 RM655 juta, kata Exco
Basiron Abdul Wahab


KUANTAN (Hrkh) - Dewan Undangan Negeri Pahang diberitahu, nilaian kerosakan dan kemusnahan akibat banjir selama 24 hari pada Disember 2007 dianggar berjumlah RM655 juta.

Menjawab soalan Adun Beserah, Syed Mohamad Tuan Lonik (PAS-Beserah) yang ingin tahu bilangan mangsa mangsa terlibat mengikut pecahan daerah, nilaian kemusnahan harta benda ternakan dan tanaman, Exco kerajaan negeri, Dato’ Tan Aminudin Ishak berkata, jumlah mangsa banjir di seluruh negeri ialah 13,299 keluarga melibatkan semua daerah kecuali Cameron Hoghlands.

Beliau menjelaskan jumlah mangsa banjir mengikut daerah ialah Kuantan (2,869), Temerloh (2,803), Pekan (2,782), Maran (2,297), Rompin (1,200), Bera (837), Raub (261), Jerantut (143), Bentong (85) dan Lipis (22).

Menurutnya Jawatankuasa Khas Pengurusan dan Bantuan yang memutuskan bantuan ehsan kepada mangsa kehilangan pendapatan semasa banjir (RM500) dengan peruntukan sebanyak (RM6.736 juta), bantuan kerosakan rumah berdasarkan ketinggian paras banjir lima kaki ke atas (RM1,100) di bawah lima kaki (RM500) dengan jumlah bantuan sebanyak (RM10,082 juta). Manakala bantuan ehsan kemusnahan rumah sebanyak (RM3,000) dan bantuan ihsan pengurusan kematian sebanyak (RM5,000).

Beliau berkata, banjir di Pahang melibatkan 11 kematian tetapi hanya lapan yang layak menerima bantuan ehsan dua daripada waris telah menerima bantuan ehsan manakala enam lagi sedang menunggu pembayaran.

Menjawab soalan Adun Beserah yang ingin tahu apakah tindakan kerajaan negeri terhadap aduan mangsa banjir yang dinafikan bantuan, Tan berkata kerajaan negeri tidak mengabaikan sebarang aduan jika aduan dan tuntutan itu benar.

Katanya, kerajaan negeri sangat menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira fahaman politik.

Sementara itu, Menteri Besar Dato' Seri Adnan Yaakub berkata kerajaan tidak bercadang untuk memulangkan semula tanah kepada pemilik asal tanah yang diambil untuk pembangunan Bandar 34 di Bera yang diambil kerajaan pada tahun 1982.

Beliau menjawab soalan Leong Ngah Ngah (DAP-Triang) yang ingin tahu apakah kerajaan negeri akan memulangkan atau menjual semula 16 lot tanah milik penduduk yang ambil di bawah rancangan pembangunan Bandar 34 kerana rancangan pembangunan Bandar 34 telah di batalkan dan diganti dengan Bandar Bera di Kerayong, tambahan pula Dara, agensi yang bertanggung jawab membangunkan Bandar 34 telah di tutup.

Menjawab soalan Choong Siew Onn (DAPTras) yang ingin tahu bilakah tapak pelupusan sampah di cheroh akan ditutup, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan, Dato’ Hoh Khai Mun berkata, tapak pelupusan sampah di Jalan Cheroh, Raub akan tamat tempoh pada tahun 2011. Katanya pada masa ini Majlis Daerah Raub dalam usaha menaik taraf tapak pelupusan sampah di Sungai Ruan di atas kawasan seluas 3.4 hektar dan kerajaan telah memohon peruntukan sebanayak RM3.2 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Tapak pelupusan sampah di Cheroh akan ditutup sebaik sahaja projek pelupusan sampah di Sungai Ruan beroperasi, katanya.

Tiada ulasan: