JADIKAN KELALAHAN DI ICJ SEBAGAI KEKUATAN KITA BERSAMA. KEPADA ALLAH BERSERAH!
Ruhanie Ahmad
Salam Perjuangan Anak Johor. Tulisan ini tidak berniat menghasut. Juga tidak mencerminkan kekecewaan. Tetapi, inilah lagu jiwa anak Johor pada saat dan ketika menerima keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, yang hari ini menyerahkan kedaulatan Pulau Batu Putih - dari segi sejarahnya adalah milik kesultanan Johor - kepada Singapura.
Keputusan ini muktamad. Sampai kiamat pun kita hilang kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih yang terletak hanya 7.7 batu nautika dari Johor, tetapi 25 batu nautika dari Singapura.
Jika apa yang diputuskan dalam ICJ hari ini diibaratkan satu peperangan, ini bermakna kita sudah benar-benar tewas. Bendera Malaysia dan Bendera Johor sudah ditawan pihak asing secara perundangan.
Kalau dalam peperangan sebenar, para askar kita yang masih hidup sudah mengalunkan irama “last post” atau irama sedih yang mengiringi pengunduran mereka daripada wilayah berdaulat dan merdeka yang sudah ditawan musuh. Bayangkan betapa hina, sedih, pedih dan pilunya perasaan kita pada ketika itu!
Saya rasional dan terpaksa menerima keputusan muktamad ICJ. Tetapi, saya kesal dengan pembohongan dan kepura-puraan oleh pembesar negara kita mengenai keputusan ini.
Kita tewas. Jadi, kalau kalah, terus terang katakan kita kalah. Saya pasti Allah SWT Yang Maha Kaya, Maha Besar dan Maha Agong memberikan sebesar-besar hikmah di sebalik kekalahan itu untuk menjadikan rakyat Malaysia dan warga Johor bersikap positif, proaktif, sensitif dan prihatin terhadap kedaulatan dan kemerdekaan tanahair kita di masa mendatang.
Saya amat pasti Allah SWT memberikan kita kekalahan ini untuk menguji sejauh manakah kebijaksanaan kita untuk mentafsirkan hikmah di sebalik kehilangan kedaulatan ke atas Pulau Batu Putih.
Saya pasti, Allah SWT mesti memberikan kekalahan ini untuk menduga kepintaran kita untuk menyedari dan menginsafi wilayah mana lagikah yang boleh dirampas kedaulatannya daripada kita oleh pihak asing di hari muka.
Bagaimanakah kedaulatan kita ke atas Pulau Pisang di Barat Daya Johor yang rumah apinya juga kini diuruskan oleh pihak asing yang sememangnya amat dahagakan tanah?
Bagaimanakah kedaulatan Iskandar Malaysia di hari muka yang kini disifatkan oleh rakyat jelata sebagai wilayah Singapura Raya?
Bagaimanakah kedaulatan wilayah kita sendiri yang dicadangkan jadi lokasi Jambatan Bengkok bila projek itu tiba-tiba sahaja dibatalkan kononnya atas desakan negara jiran kita?
Sebagai anak Johor, saya mencabar diri saya sendiri, fikirkanlah di manakah dan bagaimanakah kedaulatan kita ke atas ketiga-tiga wilayah di atas?
Adakah kita mahu terus menangis dan berduka kerana kehilangan kedaulatan kita ke atas Pulau Batu Putih? Tidak wajarkah kita jadikah kekalahan itu satu hikmah yang mencabar kita untuk memperkukuhkan azam dan cita-cita kita mendesak kerajaan membatalkan Iskandar Malaysia dengan serta merta?
Tidak wajarkah kita gunakan kekalahan itu untuk mendesak pemerintah kita lebih berhati-hati dengan jiran kita di seberang Tambak Johor?
Tidakkah kita mahu memberitahu pemerintah kita bahawa Negeri Johor Darul Takzim adalah sebuah negeri frontline Malaysia di selatan. Dengan itu, sebarang tindakan, program, keputusan dan dasar yang membabitkan pihak jiran di selatan mestilah dikaji sehalus-halusnya sebelum dilaksanakan?
Lantas, apakah tindakan segera kita berbangkit daripada keputusan ICJ ini? Memasang dan mengibarkan bendera Johor dan Jalur Gemilang di seluruh bumi Johor secara besar-besaran untuk menghantar mesej kepada dunia bahawa kita masih tetap berdaulat dan merdeka?
Adakah kita akan mengadakan penggeloraan minda dan pencambahan fikiran untuk merangka memorandum mendesak pemerintah kita membatalkan Iskandar Malaysia dengan serta merta?
Adakah kita akan menrangka memorandum mendesak pemerintah kita laksanakan semula projek Jambatan Bengkok di wilayah kita yang berdaulat dan merdeka?
Adakah kita mahu berarak beramai-ramai ke Istana DYMM Sultan Johor untuk menyatakan kepada Baginda bahawa kita masih berdaulat dan merdeka dan sentiasa bersiap sedia untuk menangkis apa juga ancaman kepada kedaulatan dan kemerdekaan tersebut di hari muka?
Fikir-fikirkanlah seluruh persoalan di atas. Bertindaklah secara berani, ikhlas, berpasukan dan bersatupadu. Yang hilang jangan kita tangisi. Yang tinggal mesti kita pertahankan secara bijaksana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan