HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mei 2008

MP KeADILan dakwa Rosmah berbelanja besar di London atas biaya kedutaan
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Jawapan yang diberikan Menteri Luar, Dato' Rais Yatim dipertikaikan Azmin Ali (KeADILan-Gombak) mengenai peranan yang dimainkan oleh pegawai-pegawai di WIsma Putra di luar negara termasuk menanggung kos perbelanjaan isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin seri Rosmah Mansor ketika beliau mengunjungi London baru-baru ini.

Rais mengesahkan bahawa menurut maklumat yang baru diterimanya daripada pegawai di Pejabat Kedutaan London, isteri TPM itu tidak menggunakan khidmat kedutaan London untuk kepentingan peribadi.

Perkara tersebut merupakan persoalan yang dibangkitkan Azmin pada perbahasan sidang dewan pagi tadi apabila beliau mendakwa Rosmah telah berbelanja besar di London dalam satu lawatan beliau dan kos tersebut ditanggung oleh Kedutaan Malaysia di London.

"Saya bersetuju dengan peranan yang dimainkan Kementerian Luar untuk membantu rakyat Malaysia di luar negara, namun saya membantah peranan pegawai-pegawai kedutaan ini yang lebih bertumpu untuk melayan isteri-isteri menteri, timbalan-timbalan menteri.

"Bahkan saya ingin menyatakan bahawa tidak benar kenyataan menteri tadi bahawa semua rakyat Malaysia dilayan oleh pegawai-pegawai kedutaan di luar negara," katanya pada sidang dewan rakyat hari ini.

Sebaliknya beliau mendakwa, pegawai-pegawai kedutaan telah digunakan untuk melarang rakyat Malaysia di luar negara daripada mendengar taklimat daripada pimpinan Pakatan Rakyat ketika mengunjungi negara tersebut.

Hal tersebut telah mengundang suasana yang bising di dalam parlimen.

"Apa yang menghairankan saya mengenai faks jawapan yang diterima menteri tadi daripada London adalah, ia perlu dibuat dengan lebih teliti kerana maklumat tersebut harus disiasat dengan lebih menyeluruh.

"Tidak mungkin pihak kedutaan di London dapat menjalankan siasatan dalam masa yang singkat kerana di London sekarang ini waktu tengah malam," ujarnya.

Namun begitu, Rais enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan Azmin itu sambil menyatakan ia berbentuk sangkaan buruk. - mns

Tiada ulasan: