Hasil Wacana akan dijadikan panduan pentadbiran negeri – MB
Roy Rasul
KUALA LUMPUR (Hrkh) - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, Wacana 'Menjana Islam Syumul Demi Kesejahteraan Ummah' yang diadakan di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam hari ini, sangat penting untuk dijadikan panduan pentadbiran negeri.
Beliau berkata, wacana yang menghimpun pegawai-pegawai kerajaan dan mereka yang mempunyai keilmuan Islam seperti petugas-petugas di Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) boleh merangka bentuk atau lunas-lunas untuk dijadikan panduan kepada kerajaan negeri.
Katanya kepada wartawan selepas merasmikan wacana tersebut, pembangunan negeri bukan saja perlu mantap dari segi pembangunan fizikal tetapi juga dari segi pembangunan kerohanian.
"Saya harap hasil wacana ini dapat menjadi arah tuju dalam pelaksanaan usaha pembangunan negeri Selangor," katanya.
Sementara itu semasa berucap dalam majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 200 peserta, Khalid berkata mentadbir sebuah negeri maju seperti Selangor adalah satu cabaran yang besar.
"Saya melihat cabaran ini bukan kerana ketidakmampuan yang ada pada kita tetapi saya lebih melihat keterlibatan anggota masyarakat menikmati kemajuan yang dicapai.
"Secara umum saya melihat perkembangan dan pembangunan insan ini lebih penting dan perlu dijadikan keutamaan," katanya.
Beliau berkata, sesuatu kemajuan tidak dapat dikecapi tanpa adanya tenaga manusia yang dipertangung jawab memimpin rakyat supaya maju dan membangun serta diperkukuhkan rohani mereka.
Dengan itu, katanya wacana boleh dijadikan acara penting bagi mengukuhkan umat Islam dengan pengisian yang berkualiti.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal-ehwal Islam Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas, Dato' Dr Hasan Mohamad Ali yang turut berucap dalam majlis tersebut dan juga mengiringi Khalid dalam sidang media itu berkata, pihaknya dalam proses untuk melahirkan satu 'blue print' tentang pelaksanaan Islam secara lebih harmoni, aman dan sejahtera dalam konteks masyarakat majmuk di negeri Selangor.
"Kita cuba perkuat dan perkukuh institusi-institusi agama yang ada seperti Jais, Mais, Mais Corp, Lembaga Zakat dan Kolej Islam Anratabangsa," katanya.
Katanya, jika itu dapat diperkukuh mandat membawa 'blue print' atau 'master plan' akan berjaya dalam beberapa bulan akan datang.
Malah katanya, kesan langsung daripada gabungan tenaga yang padu dapat bertindak dengan satu langkah bersama.
"Jadi saya akan menghidupkan semula makanisme-mekanisme pengurusan supaya agensi-agensi Islam di Selangor dapat diurus dengan baik," katanya.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan tidak akan mengenepikan urusan-urusan agama orang bukan Islam.
"Teman-teman seperti orang Tionghua, Hindu, Sikh dan lain juga kita akan menentu mereka akan merasa sejahtera dalam arus pembangunan Selangor ini," katanya.
Dalam pada itu, beberapa kertas kerja turut dibentangkan dalam wacana tersebut, antaranya, Dato' Hasan sendiri yang membentang kertas kerja bertajuk, 'Hala tuju menjana Islam syumul dalam konteks mengamal Islam sebagai adden'.
Manakala, Pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Prof Madya Dr Fauzi Deraman membentangkan kertas bertajuk, 'Methodologi menjana Islam syumul di kalangan ummah'.
Turut membentang kertas kerja ialah Dr Mohd Main Mokhtar dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Azmi Hamid dari Teras.
Selain peserta turut hadir dalam wacana tersebut adalah ahli-ahli Exco, ahli dewan undangan negeri dan ahli parlimen Selangor.
Antaranya, Dr Halimah Ali, Yaacob Safari, Dr Shafie Abu Bakar dan Abdul Khalid Samad. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan