HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Mei 2008

Badan khas kawal selia projek


SHAH ALAM- Satu Badan Khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi mengkaji semula projek pembangunan secara usaha sama antara anak syarikat kerajaan negeri dan syarikat swasta yang dicatatkan berjumlah RM36 bilion.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penubuhan badan khas itu diwujudkan bagi membolehkan kerajaan negeri mengawal projek pembangunan di bawah konsep tanah pawah kerana ia membabitkan kos serta risiko yang tinggi.

Menurut beliau, melalui badan khas itu, ia akan membolehkan kerajaan negeri menjalankan kajian teliti terhadap projek pembangunan usaha sama kerana ia membabitkan nilai yang tinggi tetapi mendatangkan pulangan tidak setimpal kepada kerajaan negeri sebelum ini.

“Ia setelah kita mendapati terdapat projek usaha sama sebelum ini di mana pemberian kuasa kepada syarikat swasta yang mengusaha sama projek berkenaan terbengkalai dan akhirnya kerajaan negeri terpaksa menanggung beban dan mendatangkan masalah.”

“Terdapat juga kes syarikat swasta yang melarikan diri dan menimbulkan masalah yang lebih besar apabila tiada maklumat dan latar belakang terperinci mengenai syarikat terbabit direkodkan.”

Rentetan daripada itu, selepas ini kerajaan negeri tidak lagi mengadakan perjanjian usahasama dengan syarikat swasta sekiranya ada perjanjian yang telah ditandatangani sebelum ini masih belum diselesaikan.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN ) Selangor di sini semalam.

Sebelum itu, ketika menjawab soalan Amirudin Shari (PKR-Batu Caves) pada sidang DUN itu, Abdul Khalid berkata, sehingga kini, kerajaan negeri dan syarikat swasta bekerjasama membangunkan tanah seluas 4,800 hektar membabitkan 62 projek pembangunan dengan nilai RM36 bilion.

Sebaliknya, beliau berkata, projek usaha sama itu hanya memberi keuntungan kepada kerajaan negeri sebanyak RM1.2 bilion.

Menerusi konsep tanah pawah itu, kerajaan negeri menerusi Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) memberi tanah untuk dimajukan dengan kerajaan negeri mempunyai pegangan 30 peratus manakala syarikat swasta memegang ekuiti sebanyak 70 peratus.

Sambil memberikan contoh, Abdul Khalid menjelaskan projek Sepang Gold Coast seluas 848.4 hektar tetapi hanya 416.4 hektar yang dimajukan dengan projek bernilai RM3 bilion manakala PNSB memperoleh pulangan sebanyak RM65 juta.

Abdul Khalid berkata, projek PNSB dengan Lebar Daun untuk membina pusat beli belah, pejabat dan kediaman dengan anggaran nilai pembangunan RM600 juta dan PNSB mendapati pulangan sebanyak RM19.5 juta.

Sementara itu, Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ketika dihubungi menafikan kenyataan Abdul Khalid dan menyifatkan nilai pembangunan sebanyak RM36 billion membabitkan 62 projek yang dinyatakan adalah tidak berasas.

Menurut Dr Khir, beliau tidak tahu menahu mengenai anggaran nilai pembangunan tersebut seperti yang didakwa oleh Abdul Khalid.

“Saya tidak tahu langsung mengenai jumlah tersebut (RM36 billion). Saya fikir ia hanyalah anggaran kasar daripada Abdul Khalid,”

Mengenai projek Sepang Gold Coast di Sepang, beliau memberitahu, tanah di kawasan tersebut akan dimajukan secara berperingkat-peringkat.

“Memang tanah di kawasan itu tidak dibangunkan sepenuhnya kerana kita akan membangunkan tanah tersebut secara berperingkat-peringkat. Malah, seperti yang kita tahu tanah tersebut hanya tanah lumpur sahaja.

“Apa yang dikata oleh Menteri Besar sebenarnya tidak betul kerana sebelum ini kita telah membuat kajian secara terperinci mengenai projek tersebut,” katanya.

Tambah Dr Khir, kerajaan negeri boleh membatalkan projek yang terlibat sekiranya pihaknya merasakan ia (projek) mendatangkan masalah kepada mereka.

“Dia (Abdul Khalid) mempunyai hak serta kuasa untuk membatalkan serta-merta projek-projek yang boleh mendatangkan masalah kepada kerajaan negeri termasuklah projek-projek lama yang dirasakan tidak boleh dibangunkan lagi,” tambahnya.

Tiada ulasan: