HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mei 2008

Kes mahasiswa UKM: Polis didakwa lakukan pedakwaan terpilih
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Pihak polis dan pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masih lagi gagal menyelesaikan kes rampasan komputer riba milik seorang mahasiswa, Ammar Khalis Ishak dan juga pembuangan kolej terhadap Mohd Arif Misrol.

Pihak berkuasa universiti sehingga kini mengambil sikap berdiam diri tanpa memberikan apa-apa penjelasan dan pembelaan terhadap kes ini.

Kordinator Jawatankuasa Keselamatan yang menangani isu ini, Hishamuddin mendakwa bahawa pihak polis seolah-olah melakukan pendakwaan terpilih dalam menjalankan siasatan terhadap pihak keselamatan dan juga pentadbiran Universiti.

"Tindakan pihak polis yang menabur janji manis untuk menyelesaikan masalah ini tidak lebih sekadar melepaskan batuk di tangga meskipun Kanun Acara Jenayah jelas memihak kepada pelajar yang dirampas laptopnya tanpa sebarang catatan mahupun dokumentasi sebagai 'barang kes'," katanya dalam satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily.

Tegasnya, pihak pentadbiran UKM bukanlah 'Sacred Cow' atau lembu suci yang mempunyai kekebalan dari segi undang-undang memandangkan pendakwaan terpilih yang dilaksanakan pihak Polis adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan seperti peruntukan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa setiap orang sama di sisi undang-undang.

"Jika inilah sikap pihak polis dan pentadbiran universiti, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa isu ini mahkamah dan menuntut ganti rugi atas kacau ganggu terhadap segala kebejatan dan pencabulan undang-undang yang dilakukan oleh mereka," ujarnya.

Malah, pihaknya akan memastikan isu tersebut diselesaikan sehingga ke akar umbi seterusnya mencadangkan agar UKM merujuk kembali kes sebelum ini yang menimpa pelajar UPM.

Menyentuh isu pembuangan kolej ke atas pelajar, Arif Misrol tanpa alasan yang kukuh, beliau menyatakan bahawa berlaku diskriminasi terhadap hak asasi mahasiswa itu.

Jelasnya, merujuk kepada Perkara 6.4.8 Peraturan Khas Kolej UKM yang perlu dibaca dengan Perkara 35 (3) Kaedah-Kaedah Universiti Kebangsaan Malaysia (Tatatertib Pelajar-Pelajar) 1999 yang menyatakan bahawa mahasiswa yang dituduh dengan kesalahan tatatertib, perlu diberi peluang untuk membuat representasi atau pembelaan diri secara lisan.

Hal ini jelas bertentangan dengan tindakan pihak Pengurus Kolej Pendeta Za'ba yang tidak melakukan prosiding awal serta tidak menyatakan kesalahan yang didakwa mengganggu ketenteraman awam dan tatatertib asrama yang telah didakwa dilakukan oleh pelajar terbabit, ujarnya.

Mengulas mengenai isu ini, Hishamuddin menegaskan bahawa ia perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

"Kami mahukan isu ini diselesaikan segara dan pelajar terbabit perlu ditempatkan kembali ke kolej asalnya.

"Sekiranya pihak pentadbiran masih tidak berganjak dengan keputusan asal mereka, kami tidak akan teragak-agak untuk membawa perkara tersebut ke pengetahuan parlimen dan pihak mahkamah," ujarnya.

Difahamkan isu ini cuba diselesaikan secara diplomasi tetapi sikap dolak-dalik dan putar-belit pihak pentadbiran UKM telah menyebabkannya berlarutan selama dua bulan.

Mengenai isu rampasan laptop, satu laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang pada 17 April lalu.

Walau bagaimanapun, sehingga kini pihak polis tidak menjalankan sebarang siasatan berhubung laporan tersebut. - mns

Tiada ulasan: