Khir Toyo salah guna peraturan, buat ucapan bukan bertanya soalan
Salmiyah Harun
SHAH ALAM (Hrkh) - Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo (BN-Sungai Panjang) menyalahgunakan peraturan mesyuarat Dewan Undangan Negeri (Dun) apabila beliau bukan mengemukakan pertanyaan tetapi membuat penjelasan untuk membela dirinya.
Khir Toyo, dalam soalan tambahan kepada Menteri Besar Tan Sri Khlid Ibrahim, tidak mengemukakan soalan tetapi lebih kepada menjelaskan.
Khalid Ibrahim dalam jawapannya berhubung usaha sama kerajaan negeri dengan syarikat swasta mendedahkan usaha tersebut tidak berjaya.
Khalid yang menjawab pertanyaan dari Amiruddin Shari (KeADILan-Batu Caves) menjelaskan kerajaan negeri (terdahulu) menjalankan usaha sama dengan beberapa syarikat swasta melalui kriteria yang tidak diketahui.
"Banyak projek yang dijalankan oleh kerajaan terdahulu tidak berjaya, dalam kajian hanya enam peratus daripada usaha itu berjaya," katanya dalam sesi soal jawab pagi tadi.
Ekoran penjelasan Khalid yang mengambil masa kira-kira 46 minit untuk soalan pertama, Khir Toyo bangkit memberi penjelasan seolah-olah membela dirinya atas bidasan oleh Khalid.
Sehubungan itu, Speaker Tan Chiang Kim mencelah dan bertanya "YB Sungai Panjang hendak minta penjelasan atau berucap,".
Khir Toyo yang juga Ketua Pembangkang di Dun Selangor pula terus merujuk Peraturan Mesyuarat 37(b) setelah didesak oleh Speaker memandangkan peraturan itu mempunyai banyak pecahan.
Bagaimanapun, Speaker menjelaskan peraturan mesyuarat berkenaan adalah peraturan di bawah mesyuarat tetap yang mana seorang ahli tidak boleh ganggu sewaktu Menteri Besar berucap.
"Sungai Panjang duduk," tegas Speaker.
Soalan asal meminta kerajaan menilai semula perjanjian-perjanjian yang telah dimeterai oleh kerajaan penggal lalu dengan beberapa syarikat swasta. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan