HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Mei 2008

Isu pakaian seragam sekolah: Menteri Pelajaran digesa rujuk mufti, ulama’
Azamin Amin


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasrudin Hassan menggesa Kementerian Pelajaran merujuk kepada para mufti atau ulama untuk mendapatkan nasihat berhubung isu pakaian seragam sekolah pelajar perempuan yang dilihat sebagai salah satu penyumbang peningkatan kes gangguan dan jenayah seksual di kalangan pelajar.

Ia bukan sahaja melibatkan soal pakaian tetapi sebaliknya menggesa agar satu langkah berkesan diambil secara menyeluruh di samping menyediakan persekitaran yang selamat dan aman dari anasir maksiat dan mungkar di kalangan pelajar sekolah .

"Cadangan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) agar menukar baju putih yang menjadi uniform pelajar sekolah sebelum ini kepada pakaian berwarna adalah suatu yang sangat baik dan wajar.

"Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan sokongan yang tinggi terhadap cadangan tersebut dan turut mendesak agar pihak Kementerian Pelajaran segera mengambil tindakan sesuai dengan tuntutan agama yang mendidik agar kita senantiasa menutup apa jua ruang dan peluang yang menghala ke arah jenayah dan mungkar," katanya yang dipetik dalam satu kenyataannya semalam.

Katanya peningkatan jenayah dan gangguan seksual di kalangan pelajar sekolah semakin parah dan pihak Kementerian tidak sewajarnya memandang sebelah mata dan hanya mengeluh setiap kali kes baru membabitkan jenayah seksual pelajar sekolah dilaporkan.

"Islam telah menggariskan etika berpakaian dan imej penampilan bagi mengurang dan mengelakkan jenayah seksual ini berlaku secara berleluasa.

"Menutup aurat dan berpakaian sopan serta sesuai agar tidak menampakkan bentuk tubuh dan bayang pakaian dalam, adalah suatu yang asas dalam Islam bagi menjamin ketenangan dan keselamatan kaum wanita itu sendiri," kata Nasrudin.

Pemuda PAS katanya sangat yakin bahawa apa yang telah dicadangkan oleh PKPIM itu bukan sahaja telah didahului oleh kajian dan penelitian terhadap kes yang berlaku tetapi juga mewakili keresahan dan kegelisahan ibu bapa berkait dengan peningkatan kes cabul, zina, salah laku dan rogol yang melibatkan pelajar sekolah.

Perkara seperti tidak boleh dianggap remeh dan dipandang kecil kerana ia boleh mengundang musibah malah pihak Kementerian Pelajaran digesa membuat kajian semula terhadap uniform pelajar sekolah dengan mengambil kira cadangan dan pandangan daripada pelbagai pihak, katanya.

Tiada ulasan: