Nikmat rakyat Selangor yang tidak dikecapi dalam pemerintahan BN
Adnan Ibrahim
Pengumuman Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan menyiasat penglibatan samseng yang memukul penduduk hingga berlaku tragedi berdarah, sama ada ia turut melibatkan syarikat konsesi lebuh raya Cheras-Kajang atau tidak, sangat dialu-alukan rakyat.
Kes orang awam kena pukul oleh semseng yang diupah syarikat pemaju atau konsesi memang sudah menjadi perkara biasa dalam pemerintahan BN.
Sebab itu pemerintah BN memang terkenal dengan berleluasanya mafia yang `mencari makan' dengan golongan kapitalis untuk mengugut dan memukul orang awam yang dikatakan menggangu urusan `pembela' mereka.
Malah bagi bukti penglibatan semseng dengan pemaju amat sukar kerana ia dilindungi sama ada pihak berkuasa atau pengaruh kerajaan sendiri. Walaupun perkara ini juga berkait dengan unsur rasuah atau imbuhan lumayan bertujuan tutup mulut dan putar belit kejadian sebenar.
Bagi menjaga kepentingan kapitalis ini, tidak hairanlah orang awam turut dipukul oleh pasukan keselamatan. Polis yang hadir sepatutnya bertindak menjaga keselamatan apabila ada perhimpunan sebaliknya mereka bertindak di luar etika memukul orang awam.
Dalam kes 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) membelasah remaja Chang Jiun Haur dengan cota dan ditendang sehingga berdarah, memang boleh berlaku kerana dasar seumpama itu masih lagi menguasai Kerajaan Pusat.
Chang Jiun, 21 dikatakan hadir di tempat pembinaan benteng konkrit dekat Bandar Mahkota Cheras (BMC) malam tadi bersama adik perempuannya dan dua lagi rakan lelaki.
Ketika memandu keluar dari tapak benteng tersebut pada kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, kereta beliau dikepung oleh anggota polis yang sebelum ini, menyeleraikan pergaduhan membabitkan penduduk BMC.
Alasan beliau dipukul kerana didakwa melanggar anggota FRU. Bagaimanapun, seorang pegawai polis yang membawa Chang ke Hospital Kajang berkata tidak seorangpun anggotanya dilanggar oleh kereta remaja itu.
Sementara media elektronik dan akhbar 'mainstream' secara besar-besaran serta menjadi berita utama melaporkan remaja terbabit melanggar anggota FRU dengan keretanya.
Laporan yang sering kali menyalahkan orang awam apabila berlaku tragedi sedemikian tanpa usul periksa memang kerap berlaku. Malah penduduk yang dipukul samseng juga dilaporkan secara memutar belitkan kejadian dengan menuduh penduduk bergaduh dengan pekerja.
Akhbar berbahasa Cina melaporkan lebih daripada 10 orang cedera parah dalam kejadian pergaduhan samseng dengan penduduk tersebut.
"Mereka terus menyerang penduduk terbabit. Kira-kira 10 orang dipukul dan tiga daripadanya adalah wartawan. Kamera juga turut dirampas," dakwa Pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan BMC, Tan Boon Hwa.
Penduduk BMC, Chin Kee Chong patah tangan kanannya serta turut cedera di bahagian kepala, manakala seorang lagi penduduk, Lee Ah Seng, cedera parah di kepalanya yang memerlukan tujuh jahitan.
Akhbar Inggeris ada menyiarkan jurugambar Utusan Malaysia, Roy Azis Abdul Aziz dipukul ketika beliau cuba mengambil gambar pergaduhan tersebut.
Sebaliknya media memanipulasikan berita mengatakan wartawan dipukul penduduk dan kemera mereka dirampas.
Bagaimanapun penduduk Selangor kali ini sangat bersyukur mempunyai pemerintah yang prihatin tentang nasib dan maruah mereka yang diaibkan sedemikian rupa.
Hal seumpama ini tidak berlaku dalam pemerintah Barisan Nasional (BN) yang lebih memihak kepada pemaju bila berlaku konflik antara kedua pihak.
Nikmat hidup sebagai rakyat yang dihargai pemerintah mula terasa sejak pakatan rakyat mengambil alih pemerintahan selepas pilihan raya umum lalu. Inilah pentingnya menyokong kerajaan berjiwa rakyat.
Kebahagian seumpama ini hanya dapat dikecap semasa pemerintahan khalifah Umar apabila mengarahkan tentera memerangi Yahudi yang mempersendekan dan mentertawakan seorang muslimat yang auratnya terdedah dikalayak ramai di pasar.
Wanita tersebut merasa terhina dan maruahnya dicabar lalu mengadu kepada pemerintah Umar. Lalu Umar mengarahkan tentera tersebut bertujuan memberi peringatan dan pengajaran bahawa rakyat di bawah pemerintahan Islam akan dibela maruah dan keaiban mereka.
Ini contoh negara Islam dan perkara inilah yang perlu diteladani oleh pemerintahan pakatan rakyat.
Dalam sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan Selangor, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya akan menyiasat hubungan kumpulan samseng yang didakwa diupah oleh syarikat konsesi lebuh raya Cheras-Kajang sehingga menimbulkan ketegangan berdarah di BMC.
"Kerajaan negeri akan memanggil (mesyuarat agung tergempar atau EGM) untuk membuat audit terhadap Grand Saga Sdn Bhd untuk mendapatkan penjelasan aliran kewangan untuk mengupah samseng tersebut," kata Abdul Khalid.
"Jika ada bukti syarikat (konsesi lebuh raya) tersebut ada berbuat demikian, kerajaan percaya pegawai-pegawai termasuk pengarah syarikat boleh dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencedera," kata Abdul Khalid di Shah Alam, semalam.
Khalid berkata Selangor tidak boleh mengetepikan hak orang awam walaupun anak syarikat kerajaan negeri memiliki saham dalam Grand Saga. - mns
Tiada ulasan:
Catat Ulasan