HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Mei 2008

Kerajaan Selangor bakal lancar khutbah secara talian
Saidah Hairan


SHAH ALAM (Hrkh) - Menyedari kepentingan khutbah yang boleh membantu membaiki akhlak diri, keluarga dan umat Islam, kerajaan Selangor akan melaksanakan khutbah secara talian melalui E.Khutbah.

Menurut Exco Hal Ehwal Agama, Adat-adat Istiadat dan Kemudahan Infrastruktur, Dato' Dr Hasan Ali, E.Khutbah secara talian itu akan dipasang di masjid dan surau seluruh negeri Selangor.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab lisan yang diutarakan oleh Adun Meru, Dr. Rani Othman (PAS) tentang urus tadbir masjid dan surau di Selangor.

Katanya, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah melantik jawatankuasa khusus untuk membuat khutbah yang tiada kaitan dengan pengaruh politik.

Ini berikutan tambah beliau, masalah yang selama ini dihadapi oleh kebanyakan masjid dan surau ialah apabila ia dikuasai pengaruh politik BN-Umno.

"Proses mengumnokan masjid dan surau telah lama berlaku sejak 50 tahun BN-Umno memerintah Selangor sehingga matlamat penubuhan masjid itu tidak jelas," tegasnya.

Beliau menjelaskan, Selangor mempunyai 361 masjid dan 1758 surau dengan 7581 orang AJK masjid, 36,918 AJK surau.

Malangnya selama ini sebahagian besar AJK masjid dan surau merupakan AJK Umno cawangan dan AJK Umno Bahagian.

Sebab itu kata beliau, ada di kalangan AJK masjid yang menyimpan wang tunai hasil kutipan derma sebanyak RM15 ribu dan ada yang telah menggunakannya terlebih dahulu.

Katanya, perkara itu berlaku disebabkan jawatankuasa audit masjid tidak berfungsi langsung.

Beliau turut mencadangkan AJK masjid diurus tadbir oleh golongan muda yang mempunyai kelulusan akademik sekurang-kurangnya SPM, diploma dan ijazah.

"Saya berusaha mahu menjadikan masjid sebagai pusat dakwah kerana Selangor merupakan negeri yang paling ramai pakar dakwah," tegasnya.

Di bawah kerajaan Pakatan Rakyat beliau berkata, bukan saja masjid bahkan To'kong, Gereja dan kuil akan dijadikan gelanggang tempat mengubati penyakit rakyat.

Adun Meru, Dr Rani dalam soalan tambahannya minta penjelasan tentang senarai nama AJK yang digugurkan dan diganti dengan nama lain yang menyokong Umno. Apakah budaya ini akan diteruskan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat?

Dr Hasan berkata, itu merupakan budaya yang diwarisi Umno lebih 50 tahun yang menggugurkan senarai nama yang tidak selari dengan prinsip Umno.

Soalan tambahan Adun Dusun Tua, Ismail Sani (BN), apakah tindakan yang akan diambil terhadap AJK masjid yang disyaki seleweng dana.

Menurut Hasan, jika laporan kesalahan itu ditafsirkan sebagai jenayah kerajaan akan menggunakan saluran undang-undang tetapi jika boleh dimaafkan mereka akan diberi nasihat dan motivasi. - mns

Tiada ulasan: