HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mei 2008

Speaker Dun Selangor diuji pada hari pertama persidangan
Saidah Hairan


SHAH ALAM (Hrkh) - Kewibaan dan ketegasan Speaker Teng Chang Khim teruji pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor (Dun) apabila ramai dikalangan Adun Umno-BN bangun meminta penjelasan dengan merujuk peraturan mesyuarat.

Ketegasan itu dilihat apabila Teng menolak bantahan daripada Adun Templer, Dato' Subahan Kamal yang menggunakan peraturan mesyuarat 36(6) mendakwa ucapan perbahasan Bukit Antarabangsa, Azmin Ali berunsur sangka jahat.

Dalam perbahasan itu, Azmin hanya menyebut perkataan Mongolia dan Makkal Shakti.

Bagaimanapun, Speaker menolak bantahan tersebut kerana Adun Bukit Antarabangsa hanya berucap secara umum dan tidak menyebut nama individu.

Adun Sri Serdang, Dato' Mohamed Satim Diman turut mempertikaikan ucapan Azmin yang dilihat membaca teks dengan merujuk Peraturan Mesyuarat.

Sekali lagi Speaker menjelaskan; "Saya tidak nampak YB Bukit Antarabangsa membaca teks tetapi hanya merujuk.

Penjelasan Speaker itu disambut dengan tepukan di atas meja oleh semua Adun Pakatan Rakyat.

Turut kedengaran Adun BN mengatakan tiada lagi kejadian Adun membuang buku peraturan mesyuarat ke dalam bakul sampah. (Kenyataan ini merujuk tindakan Adun Sungai Pinang, Teng Chang Khim ketika Dato'Seri Dr Mohd Khir Toyo menjadi Menteri Besar).

Speaker menjawab, dulu terdesak sekarang tidak (sambil tersenyum). Lantas beliau berpantun; Dulu-dulu, sekarang-sekarang, dulu pembangkang sekarang kerajaan, dulu nak cakap masa kekurangan, sekarang ada masa peluang disia-siakan.

Dalam perbahasan sulung, Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Ali turut mengusulkan supaya sidang Dun dipanjangkan selama sebulan. Ini kerana katanya, masa yang diberi selama tiga hari tidak cukup untuk membongkar segala masalah yang dilakukan oleh kerajaan BN-Umno. - mns

Tiada ulasan: