HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Mei 2008

Anwar tidak akan jadi PM lebih dari 10 tahun
Oleh G.Manimaran, Mstar


BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau tidak akan memegang jawatan Perdana Menteri lebih daripada 10 tahun jika berpeluang untuk memimpin negara ini.

"Jika anda tidak berupaya melakukan perubahan signifikan dalam 10 tahun (sebagai Perdana Menteri), bermakna sudah sampai masanya untuk berundur," kata beliau yang yakin bahawa mempunyai sokongan padu ahli-ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri.

Beliau, yang dipetik Bloomberg, menyatakan demikian pada pertemuan dengan wartawan di Singapura hari ini.

Anwar yang kini mengetuai Pakatan Rakyat berkata, sehingga kini belum lagi menerima makluman rasmi mengatakan bahawa beliau sudah layak untuk memegang jawatan parti.

Larangan memegang jawatan parti dan bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun ke atas Anwar, yang dipecat daripada jawatan Perdana Menteri dan Presiden pada 1998, berakhir bulan lalu.

Kini Pakatan Rakyat menguasai 82 kerusi di Dewan Rakyat manakala Barisan Nasional (BN) yang gagal mempertahankan majoriti dua pertiga pula memiliki 140 kerusi.

Sejak kebelakangan ini, Anwar mendakwa beliau mempunyai sokongan memandangkan sekumpulan ahli Parlimen BN telah menyatakan kesediaan untuk melompat ke Pakatan Rakyat.

Pakatan Rakyat memerlukan 30 kerusi lagi untuk membentuk kerajaan persekutuan.

Malah, kata Anwar, beberapa wakil rakyat pembangkang telah menyatakan kesediaan untuk berundur bagi membolehkannya bertanding kerusi Parlimen.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar juga berkata, undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merupakan "pilihan terbaik untuk menjatuhkan" BN yang sedang memerintah.

"Anda gunakan saluran perlembagaan untuk membuktikan bahawa anda mempunyai sokongan majoriti Dewan Rakyat untuk membawa usul bagi menjatuhkan perdana menteri," katanya.

Kelmarin tekanan ke atas Abdullah meningkat ekoran keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memutuskan untuk keluar Umno atas alasan kecewa dengan kepimpinan parti.

Tiada ulasan: