HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Mei 2008

Rumah atas tapak lupus sampah


KELANA JAYA – Mengejutkan! Satu projek perumahan yang diusahakan sebuah syarikat pemaju di atas bekas tapak pelupusan sampah boleh mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa dan lebih menghairankan bagaimana Sijil Layak Menduduki (CF) boleh dikeluarkan kepada pembeli di kawasan perumahan terbabit.

Kawasan perumahan yang sepatutnya ditimbus dengan tanah sekurang-kurangnya setinggi dua meter hanya ditimbus setebal enam inci sahaja oleh pemaju.

“Bagaimana projek ini boleh mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa kerana keadaan ini amat membahayakan masyarakat khususnya penduduk di sini.

“Air licit yang terhasil dari sampah di bawah tapak rumah ini pastinya mengandungi bahan kimia dan racun yang berbahaya dan takungan air ini juga menjadi tempat pembiakan denggi.

“Perkara sebegini boleh membawa maut kepada penduduk dan tanah yang ditimbus tidak mampat serta nipis boleh mengakibatkan rumah di sini mendap,” kata Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo-Burne Loh sewaktu meninjau kawasan rumah seorang penduduk di sini, semalam bersama Setiausaha Politik Ahli Parlimen Subang, Aloysius Francis Pinto.

Keadaan kawasan taman perumahan Kelana Idaman itu terbongkar apabila seorang pembeli, Nana Tang ingin melakukan pengubahsuaian di kawasan rumahnya dan mendapati rumah itu didirikan di atas longgokan sampah yang tidak mampat.

Gwo-Burne berkata, beliau mengambil berat masalah yang dihadapi oleh penduduk di taman ini dan sebagai langkah awal beliau akan meminta penjelasan daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagaimana projek itu boleh mendapat kelulusan.

“Kita akan minta penjelasan dari MBPJ bagaimana projek perumahan ini boleh mendapat kelulusan dari MBPJ sedangkan seharusnya MBPJ membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum meluluskan sesuatu projek.

“Secara tidak langsung ia memperlihatkan MBPJ tidak prihatin terhadap status projek perumahan sebelum diluluskan,” tambahnya lagi sambil berjanji akan menyiasat perkara ini.

Tiada ulasan: