HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Mei 2008

Pemakaian gelang bermagnet boleh jika penuhi 4 syarat - Jabatan Mufti Perak


IPOH: Pemakaian gelang bermagnet yang dikatakan mempunyai unsur perubatan dan menjadi satu trend kini adalah harus sekiranya memenuhi empat syarat yang ditetapkan, kata Ketua Penolong Mufti Negeri Perak, Ustaz Zamri Hashim.

Beliau berkata syarat pertama ialah pemakai gelang bermagnet itu tidak beri'tiqad (kepercayaan atau keyakinan di dalam hati) bahawa gelang itu memberi kesan kerana yang memberi kesan adalah Allah S.W.T.

"(Kedua) Tidak berniat memakai gelang berkenaan kerana menyerupai wanita dan bukan bertujuan untuk bermegahmegah kerana semakin lahir kebelakangan ini trend menghiasai gelang-gelang berkenaan dengan aksesori-aksesori seperti perhiasan wanita.

"Haram memakai gelang yang diperbuat daripada emas," katanya dalam satu kertas kerja ringkas yang diterbitkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perak di sini.

Beliau berkata syarat seterusnya ialah gelang bermagnet itu mesti terbukti mempunyai kesan saintifik dan secara klinikal mempunyai pengaruh terhadap pengaliran darah di dalam tubuh seperti didakwa.

"Bukti itu mestilah datang daripada para doktor atau ahli sains yang amanah lagi thiqah (boleh dipercayai). Tidak memadai hanya dengan penerangan jurujual sahaja," katanya.

Menurut Zamri syarat yang terakhir ialah jika pemakaian gelang itu menimbulkan fitnah terhadap maruah si pemakai maka adalah lebih baik pemakai gelang bermagnet itu memakai baju berlengan panjang yang dapat menyembunyikan pemakaian gelang berkenaan.

Beliau mengakui bahawa terdapat dua pandangan berkenaan isu pemakaian gelang bermagnet iaitu pandangan pertama menyatakan ia haram dipakai kerana menyerupai perempuan manakala pandangan kedua mengatakan ia harus dipakai kerana bertujuan berubat dengan masing-masing mengemukakan dalil mereka.

"Oleh kerana perkara ini telah menimbulkan perselisihan pandangan antara para ilmuan, maka kaedah yang dicadangkan oleh Imam As Suyuti iaitu keluar dari khilaf (keliru) adalah digalakkan," katanya.

Beliau berkata kertas kerja ringkas itu sekadar membawakan penghujahan kedua-dua pihak dan cuba membuat kesimpulan sekadar yang mampu supaya masyarakat mendapat gambaran terhadap perbincangan yang berlaku.

"Perbincangan ringkas ini masih boleh diberi pandangan oleh para pembaca dengan membawa dalil-dalil dan hujahhujah tetapi janganlah sampai memanjang-manjangkannya sehingga terlupa kepada isu yang lebih penting," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: