Dr Hasan Ali dilantik Timbalan Pengerusi Jais
Saidah Hairan
SHAH ALAM (Hrkh) Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dato' Dr Hasan Ali dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Pelantikannya diperkenan Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Dr Hasan ketika ditemui selepas majlis perasmian sidang DUN hari ini berkata, beliau bercadang membuat beberapa pengubahsuaian terhadap Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan anak syarikatnya seperti Lembaga Zakat, Mais Co dan Kuis.
Katanya, dengan pengubahsuaian itu diharap Mais dan anak syarikatnya akan menjadi lebih kukuh, padu dan bertenaga.
Selain itu, menurutnya jawatankuasa masjid akan disusun semula.
"Saya harap akan dapat kemukakan cadangan tetapi yang lebih penting masjid akan dijadikan pusat transformasi masyarakat setempat," katanya.
Dr Hasan juga berkata, beliau bercadang mengubah organisasi masjid yang selama ini hanya dikuasai ahli politik dan orang yang kurang arif dengan agama.
Ditanya mengenai cadangan untuk mewujudkan surau di pasar tani dan malam katanya, perkara itu akan dibincang dalam mesyuarat dengan Pihak Berkuasa Tempatan terlebih dahulu.
"Saya nak bincang tentang projek solat berjemaah di pasar tani dan pasar malam serta beberapa cadangan bagaimana menghidupkan amal Islami," katanya. - mj/mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan