Isu wakil BN boros ke balai polis
SHAH ALAM - Isu wakil-wakil rakyat BN Selangor berbelanja boros peruntukan mereka awal tahun ini diadukan kepada polis kerana disyaki terdapat unsur-unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN itu didakwa membelanjakan lebih 90 peratus daripada peruntukan RM29.5 juta antara Januari hingga Februari sehingga ditegur oleh Sultan Selangor pada Rabu lepas.
"Beta memandang serius perbelanjaan peruntukan ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun 2008 yang habis dibelanjakan pada dua bulan pertama tahun ini," titah Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan pembukaan persidangan penggal pertama DUN Selangor.
"Kerajaan negeri telah melaksanakan budaya perbelanjaan berhemah dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih efisien dan berkesan bagi mengelakkan berlakunya pembaziran sumber.
"Beberapa surat pekeliling telah dikeluarkan sebagai garis panduan perbelanjaan berhemah yang efektif di mana program-program jabatan dilaksanakan berdasarkan ketepatan kos," titah baginda lagi.
Menurut Bernama, naib ketua Angkata Muda PKR (AMK) negeri Hamsah Djabir membuat laporan itu di ibu pejabat polis daerah Shah Alam hari ini.
Sementara bendahari AMK negeri Mohd Ali Hanapiah Ali Murtada pula membuat laporan polis terhadap kepimpinan Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat Selangor (Balkis) kerana disyaki terdapat penyalahgunaan kuasa, penyelewengan dan aktiviti berunsur rasuah di dalam proses perbelanjaan dan pengurusan dananya.
Menteri besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada sidang DUN Jumaat lepas berkata Balkis membelanjakan RM158,000 untuk menyediakan pakaian sukan bagi anggotanya dan RM121,000 untuk pakaian batik anggota dan suami masing-masing.
Sebelum ini Balkis dilanda kontroversi apabila didakwa memindahkan wang RM9.9 juta kepada sebuah badan amal lain selepas ia dibubarkan tidak lama selepas pilihanraya umum 8 Mac.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan