HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Mei 2008

Selangor haramkan Islam Hadhari - Dr Hassan Ali
Harakahdaily


SHAH ALAM (Hrkh) - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang pertama selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac menyaksikan kerajaan Pakatan Rakyat mengumumkan langkah mengharamkan sebarang program yang ada kaitan dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di negeri itu.

"Kita haramkan Islam Hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam Hadhari," kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dato' Dr Hassan Mohamed Ali semasa menggulung perbahasan di hari akhir sidang DUN itu di Shah Alam Isnin.

Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata semua masjid dan surau tidak dibenarkan mengadakan program, termasuk khutbah yang menyentuh atau ada hubung kait dengan Islam Hadhari.

Beliau mencabar mana-mana pihak supaya tampil memberikan bukti yang menunjukkan ada pemimpin PAS, termasuk dirinya yang membuat janji itu kepada rakyat pada pilihan raya.

"Jika ada yang mendakwa saya atau pemimpin PAS yang membuat dasar janji ini, sila tunjukkan bukti, " katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia itu berkata, PAS yang bergabung dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk membentuk Pakatan Rakyat mahu mentadbir Selangor dengan menegakkan prinsip sama rata dan keadilan.

"Kita tidak mahu mengamalkan pentadbiran 30 peratus komisen, 50 peratus komisen atau memberi tender kepada kroni.

"Malah kita ubah tender yang diberi secara runding terus kepada tender terbuka kerana tidak mahu membuat dosa," katanya seperti dilapor Agendadaily. - mr

Tiada ulasan: