HALAMAN SANTAI

Selasa, 27 Mei 2008

SPR syor daftar pengundi berusia 50 tahun diganti baru
Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mahu satu daftar pemilih segar, yang akan melibatkan pendaftaran semula pengundi di seluruh negara, disediakan bagi menggantikan daftar induk semasa yang disifatkan badan itu sebagai “telah lapuk.”

Bagi tujuan tersebut, SPR akan mengesyorkan kepada kerajaan agar menyediakan undang-undang khas selepas mesyuarat anggota panel suruhanjaya itu 9 Jun ini.

“Kita perlu adakan satu daftar yang baru sama sekali mengikut keperluan dan kehendak semasa, yang boleh diterima oleh semua tanpa ragu-ragu,” kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman dalam temu bual dengan mStar Online di sini.

Jika kerajaan menerima cadangan itu, proses pendaftaran pemilih baru perlu diadakan untuk mendaftar semula para pemilih.

“Kita harap kerajaan akan terima cadangan ini,” katanya sambil berseloroh “ia juga telah menjadi satu isu seolah-olah duri dalam daging” kerana dikritik banyak pihak sebelum ini.

Daftar pemilih semasa terdiri daripada 10.9 juta pengundi manakala empat juta rakyat yang layak masih belum mendaftar.

Kata Abdul Rashid, keseluruhan proses penyediaan undang-undang dan penyediaan daftar induk baru dijangka memakan masa dua tahun.

Oleh itu, jelas beliau jika siap, daftar induk baru yang dimaksudkan boleh digunakan dalam pilihan raya umum ke-13.

“Mungkin memerlukan dua tahun... ia bergantung kepada kelulusan kerajaan dan saranan jawatankuasa (jika ditubuhkan kerajaan) untuk membuat kajian,” katanya lagi.

Proses penyediaan daftar pemilih lazimnya melibatkan pendaftaran pemilih, pameran daftar, siasatan dan pameran semula daftar, dan penyediaan daftar induk.

Langkah itu dijangka boleh membantu mengatasi rungutan dan kritikan parti-parti politik yang mendakwa daftar pemilih semasa, yang dikemaskinikan dari semasa ke semasa sejak 50 tahun lalu, tidak mempunyai rekod terkini dan terdiri daripada pengundi-pengundi hantu.

Menjelang tarikh pengundian 8 Mac lalu, SPR telah menerima 235 aduan berhubung kehilangan nama pengundi daripada daftar pemilih sejak 2004 hingga Mac 2008.

Hasil siasatan SPR mendapati nama-nama pemilih berkenaan telah dikeluarkan disebabkan beberapa faktor seperti status yang diragui selepas nombor kad pengenalan mereka disahkan tidak ada dalam pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Faktor lain ialah nombor kad pengenalan pemilih-pemilih terbabit disahkan oleh JPN adalah kepunyaan orang lain atau pemiliknya sudah meninggal dunia.

Malah terdapat juga aduan nama sesetengah pemilih ditukarkan ke bahagian lain tanpa pengetahuan mereka. Selain itu, nama mereka yang tidak pernah mendaftar juga terdapat dalam daftar pemilih induk semasa.

Ketika ditanya tentang keperluan mengadakan daftar pemilih induk baru, Abdul Rashid berkata:

“Selama ini kita hanya menyemak dan mengemaskinikan daftar semasa, kami cuma ada kuasa untuk mengemaskinikan daftar semasa, bukannya menyediakan daftar pemilih baru (jika perlu).”

Cadangan mengenai kekurangan dalam proses pendaftaran dan daftar pemilih merupakan antara perkara yang turut dibangkitkan dalam mesyuarat postmortem SPR di seluruh negara selepas pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini.

“Maklum balas yang diterima ketika mesyuarat postmortem ialah sudah tiba masa bagi negara mempunyai satu daftar pemilih induk yang baru,” katanya.

Bagaimanapun jelas untuk berbuat demikian SPR juga memerlukan perbincangan mendalam bersama parti-parti politik.

Kini SPR menggunakan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 semasa dikuat kuasa sejak 16 Julai 2002.

Peraturan ini membolehkan pendaftaran pemilih dijalankan sepanjang tahun dan daftar pemilih disemak setiap suku tahun.

Tiada ulasan: