HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 Mei 2008

MB Selangor: Tiada rundingan dibuat dengan Syabas berhubung tarif air


SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor belum mengadakan sebarang rundingan dengan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berhubung kenaikan tarif air yang dikatakan akan naik mulai tahun depan, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata syarikat pembekal air itu tidak mempunyai kuasa untuk menentukan kadar tarif air kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

"Itu (tarif air) akan kita bincangkan kemudian kerana ia juga tidak ditentukan oleh kerajaan negeri, maknanya cadangan untuk menaikkan tarif air belum diputuskan.

"Bagaimanapun, naik atau turunnya tarif air, rakyat Selangor tetap akan dapat 20 meter padu pertama air percuma mulai bulan depan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Sekinchan, Ng Suee Lim pada sidang DUN Rabu lepas, yang mendakwa pengguna air di Lembah Klang dijangka berhadapan dengan kenaikan tarif air 37 peratus iaitu RM1.90 bagi setiap meter padu mulai tahun depan.

Ng mendakwa kenaikan itu dibuat sebagai memenuhi perjanjian di antara Syabas dengan kerajaan Selangor dan menurutnya kenaikan tarif air itu diumumkan kepada wakil rakyat menerusi sesi taklimat yang diadakan oleh Syabas barubaru ini.

Ketika ini, pengguna perlu membayar 57 sen setiap meter padu untuk 20 meter padu pertama manakala RM1.03 setiap meter padu bagi 20 meter padu berikutnya dan RM2 bagi penggunaan melebihi 35 meter padu.

Mengenai penyusunan semula semua aktiviti perindustrian air di negeri itu, Abdul Khalid berkata Kumpulan Darul Ehsan Berhad dipertanggungjawabkan untuk menyediakan rangka perancangan dan kerajaan negeri kemudian akan membincangkan mengenai perkara itu dengan kementerian terbabit.

"Tapi perkara ini tak ambil masa satu atau dua hari. Bagaimanapun yang penting yang dijimatkan ialah 20 meter padu air pertama ditolak harga yang sepatutnya kita bayar iaitu lebih kurang RM11 buat masa sekarang," katanya.

Abdul Khalid terdahulu merasmikan Wacana bertajuk "Menjana Islam Syumul Demi Kesejahteraan Ummah" yang disertai pegawai kerajaan, pegawai dari jabatan agama negeri serta wakil dari Institusi Pengajian Tinggi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adatadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hassan Mohamad Ali berkata pihaknya sedang dalam proses menyemak semula status lebih 1,000 penceramah bertauliah di negeri itu.

Beliau berkata langkah itu diambil kerana kerajaan negeri ingin menggugurkan senarai nama mereka yang tidak aktif memberikan ceramah dan menggantikan dengan nama baru.

"Kalau kita lihat selama tiga tahun misalnya mereka tidak memberikan ceramah, agaknya adil untuk kita menggugurkan nama mereka untuk masukkan nama baru. Sekarang ada 40 nama yang telah diluluskan oleh jawatankuasa yang mengeluarkan tauliah itu," katanya.

Beliau berkata calon terbabit sedang ditemuduga dan berkemungkinan pengambilan dibuat minggu depan bagi memilih penceramah yang benarbenar dapat menyampaikan kuliah dengan baik, memberi kuliah dengan etika dan tatacara moral yang baik supaya syarahan mereka dapat diterima oleh semua golongan rakyat. BERNAMA

Tiada ulasan: