HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Mei 2008

Khir Toyo pemimpin tidak bertamadun - Badrul Amin
Nabila Abdullah


KOTA KINABALU (Hrkh) Ahli Majlis Tertinggi Parti KeAdilan Rakyat (KeADILan), Dr Badrul Amin menyatakan tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo menghilangkan surat rasmi kerajaan dengan membawa lari fail kerajaan negeri itu menampakkan ia seolah-olah ditadbir oleh orang yang hilang akhlak dan tidak bertamadun.

"Bila kita (Pakatan Rakyat) ambil alih Selangor jelas menunjukkan pimpinan terdahalu ditadbir oleh orang yang tidak berakhlak hilangkan surat rasmi kerajaan, bawa lari fail, pimpinan di bawah bawa lari kerusi, kipas menampakkan tidak bertamadun," katanya dalam ceramah umum menjelaskan isu semasa Pakatan Rakyat di sini semalam.

Katanya, cabaran besar bila Pakatan Rakyat ambil alih Selangor ialah bagaimana meyakinkan rakyat tentang akhlak buruk pemimpin terdahalu yang tidak boleh dipertahankan.

"Saya tidak tahu kalau ada orang ingin pertahankan akhlak pemimpin yang suami bawa lari fail kerajaan dan yang isteri bawa lari duit Balkis RM 9 juta," katanya.

Menurutnya, rakyat Sabah perlu tahu Pakatan Rakyat berdepan dengan satu sistem yang telah hancur disebabkan oleh pemimpin yang tidak bermoral.

Jelas beliau, selepas Pakatan Rakyat memerintah lima buah negeri (Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan) banyak perubahan dilakukan dan rakyat Sabah harus tahu untuk membuang fahaman buruk masyarakat negeri ini terhadap Pakatan Rakyat.

Tambahnya, masyarakat Selangor sekarang ini menikmati pemberian air percuma sehingga 20 meter padu, di Kedah, cukai tanah diturunkan, di Pulau Pinang, Ketua Menteri, Lim Guan Eng menaikkan gaji guru sekolah agama kerana beliau berpendapat guru sekolah agama berperanan dalam mengurangkan masalah sosial yang berlaku di negeri tersebut.

Oleh itu katanya, rakyat Sabah perlu sedar dan bangkit kembali meminta hak-hak rakyat di negeri ini yang telah dirampas.

Dalam majlis yang sama, Ketua Pemuda PAS Sabah, Anuar Ali mengharapkan semua ahli Pakatan Rakyat di negeri ini terus bekerja di mana-mana bahagian bagi persiapan kemungkinan berlakunya pilihan raya.

"Kita sedang merancang untuk membawa Menteri Besar Pakatan Rakyat untuk mengadakan perhimpunan yang lebih besar bagi membawa agenda besar di negeri di bawah bayu," katanya.

Tambahnya, gandingan Menteri Besar daripada PAS, KeAdilan dan DAP dalam majlis perhimpunan rakyat Sabah bertujuan untuk menuntut kembali hak rakyat Sabah yang telah dinafikan.

Justeru katanya, rakyat Sabah perlu ambil kesempatan bangkit menuntut kembali hak mereka. - mns

Tiada ulasan: