Penduduk Pasar Minggu Kampung Baru dihalau
Abdul Halim Mohd Rashid
KUALA LUMPUR(Hrkh) - Penduduk dan peniaga Pasar Minggu Kampung Baru kini dikategorikan sebagai setinggan dan dihalau keluar.
Peliknya, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Salleh Yusup pula mendakwa penduduk dan peniaga tersebut tidak akan dianak tirikan. Kenyataan Salleh itu disifatkan bercanggah dengan notis yang menghalau mereka dari kawasan itu.
"Apa kebenaran kata-kata beliau? Kami telahpun menerima notis supaya berpindah dari Pasar Minggu Kampung Baru," kata mereka dalam blog mereka.
Menurut notis berkenaan, mereka tidak akan diberi sebarang ganti rugi atau tempat gantian.
"Ini adalah notis yang bersifat keras ke atas penduduk. Ke mana kami akan pergi?" tanya mereka.
Walaupun Pasar Minggu Kampung Baru satu ketika dahulu menjadi tarikan pelancong, tetapi selepas itu "tiada pihak yang berwajib mengambil kisah di Pasar Minggu dan dipandang sepi".
"Tapi kini bila pembangunan mahu dilaksanakan, penduduk diketepikan atas dasar setinggan," kata penduduk dalam blog mereka.
Sebelum ini, Persatuan Peniaga dan kebajikan Pasar Minggu Kampung Baru mempersoalkan: "Mengapa kami dikategorikan sebagai setinggan dan diarah keluar?"
Mereka menerima notis daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya mengosongkan dan berpindah dari kawasan tersebut pada 8 Mei lalu.
Sebuah akhbar harian melaporkan, seorang penduduk, Mohd Isa Said, 54 memberitahu, sebelum ini peniaga-peniaga Kampung Baru sering diberikan surat tawaran projek perumahan PPR Air Panas, tetapi pada 8 Mei 2008 lalu, notis pembersihan setinggan pula yang diberikan kepada mereka.
"Kalau betul tanah ini didakwa milik DBKL sedangkan semakan dan carian yang kami buat di Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan masih di bawah PKNS. Bagaimaana dakwaan DBKL?" soal beliau.
Jumaat lalu, ahli-ahli persatuan tersebut mengadakan piket sebagai tanda protes tindakan DBKL yang mengelar mereka sebagai 'setinggan' serta meminta penjelasan sekiranya pembangunan dijalankan di situ.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan