HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 Mei 2008

Sindiket jual beli bayi dibongkar di Johor Bahru


JOHOR BHARU: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibupejabat Polis Bukit Aman dan Kontinjen Johor berjaya membongkar satu sindiket jual beli bayi di sini pada hari Khamis lalu, dan menyelamatkan empat orang bayi berusia antara tujuh bulan dan setahun.

Polis turut menahan 14 wanita termasuk dua warganegara jiran dan sembilan lelaki termasuk seorang warganegara jiran berumur antara 20 dan 60 tahun, yang dipercayai terlibat dalam kegiatan itu.

Ketua JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor SAC II Amer Awal berkata semua mereka ditahan selepas JSJ Bukit Aman dan Johor menyerbu sebuah klinik swasta dan empat buah rumah di sekitar bandaraya Johor Bharu pada petang Khamis lepas, selepas mendapat maklumat orang ramai.

"Dalam serbuan ke atas empat rumah berkenaan, polis menemui tiga bayi lelaki dan seorang bayi perempuan berusia antara tujuh bulan dan setahun," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata bayi-bayi itu diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, yang kemudiannya menghantar mereka ke Hospital Sultanah Aminah untuk ujian DNA bagi mengetahui kerakyatan dan ras mereka.

Polis turut merampas sebuah komputer dan laptop, beberapa dokumen, telefon bimbit dan wang berjumlah RM4,199 dalam serbuan itu.

Amer berkata polis sudah mendapatkan perintah reman selama empat hari terhadap mereka yang terlibat daripada Mahkamah Majistret Johor Baharu semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 48(1) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pemindahan milikan atau jagaan/kawalan kanak-kanak, dengan menyalahi undang-undang yang membawa hukuman denda RM10,000 atau lima tahun penjara, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes itu juga disiasat di bawah Seksyen 466 Kanun Keseksaan iaitu pemalsuan rekod mahkamah atau daftar beranak awam yang boleh membawa hukuman tujuh tahun penjara atau denda. BERNAMA

Tiada ulasan: